
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata seramai 45 individu berusia 14 hingga 57 tahun, termasuk dua pelajar sekolah, telah ditahan dalam operasi sejak kelmarin hingga tengah malam tadi.
Katanya, siasatan awal mendapati serangan pada waktu tengah hari itu melibatkan individu dipercayai ahli kongsi gelap yang diupah pihak tertentu.
“Siasatan mendapati pemilik premis menggunakan khidmat kumpulan kongsi gelap untuk menjaga operasi perniagaannya.
“Dendam dan persaingan perniagaan dikenal pasti sebagai punca rusuhan,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan polis sedang mengesan beberapa lagi suspek.
Sebelum ini, dilaporkan sekumpulan individu bertopeng menceroboh premis itu kira-kira 1.30 tengah hari pada 5 April, sebelum merosakkan pelbagai barangan.
Kejadian turut tular menerusi video 71 saat yang menunjukkan sebuah lori mengundur dan merempuh pagar premis, diikuti sekumpulan lelaki bertopeng memasuki kawasan tersebut sambil membawa objek tidak dikenal pasti.
Fadil berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat) dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh).
“Permohonan reman dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Mengulas isu pengamal media diarahkan memadam gambar di lokasi kejadian, beliau berkata berlaku salah faham antara media dan anggota polis.
“Apa yang penting, isu ini diselesaikan secara baik kerana semua pihak ada peranan masing-masing.
“Saya juga arahkan supaya perbincangan diadakan antara polis dan media, serta menegaskan pegawai siasatan supaya lebih fokus dan bertoleransi,” katanya.