Calon kedua-dua parti yang bertanding di Simanggang, satu daripada enam kerusi yang bertindih, iaitu calon DAP Leon Jimat Donald dan calon PKR Norina Umoi Utot yang terlibat dalam pertandingan empat penjuru telah kehilangan deposit apabila masing-masing meraih 695 undi dan 580 undi.
Kerusi itu dimenangi oleh penyandang Datuk Francis Harden ak Hollis daripada BN-SUPP dengan majoriti undi 1,388.
Lima lagi kerusi yang DAP dan PKR bertembung ialah tiga kerusi baharu Batu Kitang, Mulu dan Murum, dan dua kerusi lama iaitu Mambong yang dahulunya Bengoh dan Ngemah.
Disebabkan tidak bertolak ansur juga DAP hilang lima kerusi iaitu Batu Kawah, Repok, Meradong, Dudong dan Piasau daripada 12 kerusi yang dimenanginya pada PRN2011.
Sementara itu, PKR yang bertanding di 40 kerusi walaupun mengekalkan tiga kerusinya iaitu Ba’kelalan, Krian dan Batu Lintang telah hilang deposit di 10 kawasan, termasuk dua kerusi yang bertindih dengan DAP, iaitu Batu Kitang dan Simanggang.
Lapan lagi kerusi ialah Tanjong Datu, Balai Ringin, Engkilili, Ngemah, Dalat, Tellian, Tamin dan Belaga.
Bagi DAP, daripada 31 kerusi ditandinginya parti itu kehilangan deposit di tujuh kawasan iaitu Marudi, Pakan, Murum, Baleh, Mulu, Simanggang, Pelagus,
Mengikut Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), calon-calon akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh 1/8 daripada jumlah undi yang diraih semua calon yang bertanding dalam sesuatu bahagian pilihan raya berkenaan.
Pada PRN kali ini, DAP dan PKR membawa haluan masing-masing selepas kedua-dua pemimpin parti itu gagal mencapai persetujuan dalam menyelesaikan kemelut pembahagian kerusi.
-Bernama
