Hilang jati diri Melayu jika tidak angkat Hang Tuah

Hilang jati diri Melayu jika tidak angkat Hang Tuah

Orang Melayu harus terus mempertahankan kewujudan lagenda itu kerana beliau merupakan pahlawan bangsa yang dibanggakan sepanjang zaman.

 

ali-rustam-hang-tuah

PETALING JAYA:
Isu kewujudan pahlawan ulung Melayu pada zaman kesultanan Melaka, Hang Tuah masih didebatkan pada ketika negara hanya tinggal empat tahun mencapai tahun 2020.

Kali ini, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA), Tan Sri Mohd. Ali Rustam mendakwa orang Melayu akan hilang jati diri dan semangat sekiranya tidak mengangkat Hang Tuah sebagai pahlawan terbilang.

Katanya, sebagai orang Melayu, mereka harus terus mempertahankan kewujudan lagenda itu kerana beliau merupakan pahlawan bangsa yang dibanggakan sepanjang zaman.

“Kita sebagai satu bangsa di seluruh dunia mempunyai hero atau pahlawan masing-masing yang kita banggakan dan sebagai Melayu kita perlu mengangkat Hang Tuah sebagai wira yang tiada tolok bandingnya,”

“Kalau tiada pahlawan seperti Hang Tuah maka kita hilang jati diri dan semangat. Malah kita tidak tahu asal usul siapa pemimpin kita terdahulu, siapa pahlawan kita kerana semua bangsa di dunia ada pahlawan masing-masing,” katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia.

Sebelum ini, pakar sejarah, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim berkata, isu ini bertambah rumit apabila ada sesetengah pihak yang mendakwa keturunan Hang Tuah, namun gagal mengemukakan bukti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) masing-masing.

Ujarnya, situasi tersebut mengakibatkan kebenaran mengenai wujudnya Hang Tuah masih menjadi perdebatan pelbagai pihak kerana sifat sejarah bagi sesuatu perkara atau peristiwa perlu disertakan dengan bukti daripada pelbagai sumber.

“Jika benarlah Hang Tuah itu tidak wujud, masakan nama­nya disebut bukan sahaja di Melaka malah di seluruh dunia termasuk di Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Kemboja malah sehingga ke Afrika sebagai pahlawan Melayu terulung dan sepatutnya menjadi contoh serta kebanggaan kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.