
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, idea untuk menyatukan seluruh orang Melayu bawah satu payung politik adalah tidak realistik memandangkan identiti politik kaum itu sudah terbahagi kepada pelbagai segmen sejak 1951.

“Macam kami kanak-kanak yang terus tidak berfungsi kalau ada berbeza pendapat. Hakikatnya, orang Melayu tidak pernah bersatu sejak PAS keluar daripada Umno.
“Keadaan sekarang pun sama di mana Perikatan Nasional menarik satu segmen Melayu, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional lain…masing-masing. Jadi, mengharapkan semua Melayu di bawah satu payung seolah-olah mahu menghapuskan identiti majmuk kami,” katanya kepada FMT.
Pada 27 Mac lalu, Mahathir berkata keupayaan menyatukan orang Melayu faktor paling penting dalam menentukan individu layak menjadi perdana menteri.
Katanya, jawatan presiden parti politik atau status calon perdana menteri tidak menjamin seseorang itu dilantik menerajui negara, sebaliknya bergantung kepada kesatuan orang Melayu dalam menentukan wakil paling layak.
Beliau turut menekankan slogan ‘Bersatu Teguh, Bercerai Roboh’ dalam landskap politik semasa, dengan memberi amaran terlalu ramai calon hanya meningkatkan risiko semua calon kalah, sekali gus melemahkan kedudukan politik orang Melayu dalam pilihan raya.
Bagaimanapun, semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kriteria calon perdana menteri yang mampu menyatukan orang Melayu hanya boleh direalisasikan jika semua pihak sedia meletakkan perpaduan sebagai asas utama.
Dalam pada itu Syaza berkata, kenyataan Mahathir mungkin hanya relevan jika dikaitkan dengan kemelut dalaman Bersatu dan kedudukan Muhyiddin Yassin ketika ini.
Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula melihat kriteria ‘graviti penyatuan’ dibangkitkan Mahathir sukar dipenuhi Ahmad Samsuri Mokhtar, iaitu calon perdana menteri PN seperti dicanang sesetengah pihak.
Katanya, pengerusi PN dan menteri besar Terengganu itu masih mempunyai banyak kekurangan, terutama dalam menonjolkan kewibawaan di pentas antarabangsa walaupun dilihat sebagai tokoh berlatarbelakangkan profesional.
Menurutnya, status Samsuri atau lebih dikenali Dr Sam sebagai pemimpin PAS menjadi kekangan besar untuk meraih sokongan bukan Melayu berikutan persepsi pengaruh dominan kumpulan ulama dalam parti itu.