Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran membuat rayuan mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana tidak mengeluarkan perkataan Islam sebagai agama dalam kad pengenalannya.
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria berkata Sharif yang dinamakan sebagai Mahendran Ganeson ketika lahir, sepatutnya memfailkan pengisytiharan mahkamah bahawa dia bukan seorang umat Islam.
“Itu sepatutnya langkah pertama. Langkah pertama anda (semakan kehakiman) itu salah,” katanya.
Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah.
Arifin berkata berdaftar sebagai Muslim tidak menjadikan seseorang itu beragama Islam.
“Bila ada (bukti) pertukaran agama itu lain. Kes terdahulu ada bukti. Tetapi tidak (kes) yang ini,” katanya.
Tiada perintah kos dibuat.
Peguam Robin Lim yang mewakili Sharif berkata beliau akan mendapatkan arahan anak guamnya terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Mahkamah Tinggi pada 10 Februari 2015 menolak permohonan Sharif, ibunya Jamilah Jan Vasanthegokelam dan tiga anak lelaki untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap permohonan mengeluarkan Islam daripada kad pengenalan mereka dan menukar nama.
Mahkamah memerintahkan Jamilah dan anak lelakinya mendapatkan pengisytiharan murtad daripada Mahkamah Syariah sebelum ke JPN bagi menukar kad pengenalan.
Mahkamah rayuan pada tahun yang sama mengekalkan keputusan mahkamah tinggi itu.
