Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menjaga kanak-kanak itu sehingga saudara terdekatnya ditemui.
“Ini merupakan usaha terakhir kami. Bagaimanapun kami masih berharap ibunya akan menjaga dia memandangkan kanak-kanak itu masih perlukan kasih sayang daripada ibu dan keluarganya.
“Jika dia enggan, maka Jabatan Kebajikan akan mengambilnya dan kanak-kanak itu akan menjadi anak jagaan kami,” katanya selepas melancarkan Persekutuan Perdagangan dan Industri Wanita Antarabangsa Malaysia (IWCFI) hari ini.
Isnin lalu, polis merekodkan keterangan bapa mangsa yang merupakan seorang pemandu van sekolah berusia 45 tahun yang didakwa membogel dan merantai anaknya di tangga luar rumah pangsa mereka di Paya Terubong selama lima jam minggu lalu.
Bapa kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kesnya akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Menurut Rohani, kanak-kanak itu sedang menjalani pemerhatian perubatan di Hospital Pulau Pinang dan buat sementara waktu dijaga oleh JKM sehingga ibunya ditemui.
“Kami telah mengesan ibunya dan kami dalam proses untuk berjumpa dengan wanita itu,” katanya sambil menambah ibu kanak-kanak itu dipercayai telah berkahwin semula dan menetap di Sabah.
Dalam perkembangan lain, Rohani menggesa ibu bapa supaya memantau rapi dan sedar akan bahaya yang tersembunyi jika anak remaja mereka diperalatkan secara seksual menerusi media sosial.
“Jika anak-anak mereka senyap dan berkurung di dalam rumah, ibu bapa tidak sepatutnya berbangga tetapi perlu risau mengenai keadaan itu. Ini kerana kita tidak tahu apa yang berlaku di belakang pintu bilik mereka,” katanya.
Sebuah pasukan petugas ditubuhkan polis awal bulan ini untuk mengendalikan kes eksploitasi seksual ke atas kanak-kanak menerusi media sosial.
IWFCI adalah sebuah badan bukan kerajaan dan tidak berasaskan keuntungan yang ditubuhkan pada 1992 untuk menyediakan akses dan sumber kepada usahawan wanita bagi penglibatan di dalam perniagaan dan peluang mengadakan jaringan dalam pasaran global menerusi 16 juta anggota gabungannya.
– BERNAMA
