
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata, kehadiran JKM di setiap daerah membolehkan tindakan bantuan dilaksanakan dengan segera jika perlu.
“Semua pihak berkaitan telah diminta untuk bersiaga sepenuhnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas Program Ceria Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Sumbangan Back to School Sesi Persekolahan 2026 hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dilapor meningkatkan amaran hujan lebat berterusan kepada peringkat jingga bagi beberapa negeri di pantai timur Semenanjung susulan luruan monsun timur laut yang melanda ketika ini hingga 18 Dis.
Dalam pada itu, Nancy berkata, setakat 4.30 petang tadi, lapan PPS beroperasi di lima negeri di seluruh negara, melibatkan 219 mangsa daripada 93 keluarga.
“JKM telah mengambil tindakan segera termasuk pembukaan PPS, pendaftaran mangsa secara kendiri menerusi sistem MyIBJKM, serta pengagihan bantuan keperluan asas.
“Bekalan bantuan dilaporkan mencukupi bagi menampung keperluan semua mangsa yang ditempatkan di PPS,” tambahnya.