Amaran hujan lebat berterusan hingga Khamis di beberapa negeri

Amaran hujan lebat berterusan hingga Khamis di beberapa negeri

Hujan lebat berterusan tahap buruk turut diramalkan di Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Mersing dan Kota Tinggi di Johor.

hujan
Ketua Pengarah MetMalaysia Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan yang dijangka melanda beberapa negeri sehingga Khamis ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu.

Amaran sama melibatkan beberapa kawasan di Pahang, iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin serta Johor di Mersing dan Kota Tinggi.

Beliau berkata, hujan berterusan tahap waspada pula membabitkan Perak (Hulu Perak dan Kuala Kangsar), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera) serta Johor (Segamat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru) untuk tempoh sama.

Amaran hujan berterusan tahap waspada pula dijangka berlaku sehingga Selasa ini di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah di Sarawak.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mobil myCuaca, laman media sosial rasmi MetMalaysia dan talian MET Malaysia 1-300-22-1638.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.