
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor Asman Shah Abd Rahman berkata PPS SK Pusat Air Tawar mula beroperasi pada 8 pagi tadi, menempatkan 120 penduduk daripada 31 keluarga dari Kampung Baru Air Tawar dan Kampung Hubong, lapor Bernama.
Beliau memaklumkan empat sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Muar di Kampung Awat (19.41m), Sungai Segamat di Segamat (36.72m), Sungai Mersing di Kampung Labong (1.83m) dan Sungai Muar di Tangkak (2.02m).
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat dengan 2,077 mangsa daripada 648 keluarga yang ditempatkan di 18 PPS di tiga daerah setakat 8.30 pagi ini.
Menurut aplikasi Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kuantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,975 orang daripada 620 keluarga di 13 PPS, diikuti Maran dengan 74 mangsa daripada 19 keluarga di dua PPS dan Rompin melibatkan 28 mangsa daripada sembilan keluarga di tiga PPS.
Laman sesawang Public Info Banjir melaporkan aras air di beberapa stesen sungai utama di Pahang telah melepasi paras bahaya termasuk Sungai Belat di Sri Damai; Sungai Kenau di Sungai Rimau, Kuantan; serta Sungai Mentiga di Jambatan Chini, Pekan.
Situasi banjir di Kemaman, Terengganu pula semakin baik apabila jumlah mangsa banjir menurun kepada 108 orang daripada 30 keluarga setakat 9 pagi ini berbanding 212 orang daripada 58 keluarga petang semalam.
Keadaan di Miri, Sarawak pula dilaporkan pulih apabila tiada lagi mangsa banjir berlindung di PPS Bulat Sabit Merah selepas dua mangsa daripada satu keluarga dibenarkan pulang ke rumah mereka hari ini.
Bagaimanapun, PPS berkenaan kini menempatkan empat mangsa daripada satu keluarga yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh.