Berbeza dengan produk-produk yang didakwa diperkasa ayat-ayat suci Al-Quran, Peace Mobile 2 menggunakan sistem operasi Android 4.2.2 Jelly Bean dan dipacu 1.3 Ghz Quad Core Cortex A9 dan RAM 1GB untuk penggunaan yang lancar.
Dilancarkan 2014 dan dibangunkan oleh Peace Mobile Inc. yang diasaskan oleh penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik, Peace Mobile 2 dikatakan satu-satunya telefon bimbit android Islamik di dunia. Ia dijual pada harga AS$249.96 (RM1,019.69).
“Dr Zakir Naik secara cermat dan teliti memikirkan setiap aspek telefon ini bagi mencari keseimbangan antara teknologi dan keimanan.
“Setiap pilihan aplikasi Islamik dan fungsi telefon Islamik ini juga untuk meningkatkan keimanan umat Islam,” menurut laman sesawang www.peacemobilephone.com.
Daripada wara-wara di laman sesawangnya, Peace Mobile 2 memuatkan lebih 100 kertas dinding dan lebih 200 nada dering Islamik untuk meningkatkan pengalaman pengguna menggunakan telefon pintar itu.
Malah, pengguna mendapat akses penuh kepada Peace TV dengan 80 jam koleksi ajaran Zakir Naik dan lagu-lagu nasyid.
Bimbang terlepas kewajipan bersolat? Peace Mobile 2 berupaya untuk mengingatkan umat Islam mengenai waktu solat fardhu serta waktu untuk membaca kitab suci Al-Quran.
Melengkapi spesifikasi peranti itu ialah sokongan penambahan memori dalaman sehingga 32 Gb, skrin 5″, kamera utama lapan megapiksel, sokongan talian 3G, dan bateri sebesar 2,000 mAh – saiz bateri yang boleh dikategorikan sebagai kecil mengikut trend semasa.
