Penceramah kontroversi, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah percaya Adenan telah mempertimbangkan perkara itu dan beliau memuji etnik Sarawak lain kerana tidak menuntut kerusi TKM itu.
“Sama juga jika ada jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kedua Malaysia yang mungkin diwujudkan selepas ini. Paling layak adalah bumiputera Sabah Sarawak, bukan etnik lain. Etnik berhijrah sudah terbela nasibnya.
“Sabah Sarawak memerlukan lebih perhatian berbanding Semenanjung kerana mereka masih ketinggalan, terutama kawasan luar bandar. Berikanlah keadilan kepada mereka,” tulisnya dalam kolumnya di Sinar Harian hari ini.
Beliau berpendapat, keadilan lebih penting daripada jawatan dan itulah paksi pemerintahan pembentukan tamadun.
“Saya harap bangsa saya sedar akan hakikat ini. Cukuplah dengan peluang berekonomi yang telah diberikan sehingga menjadi kaya-raya, tanpa diambil sedikit pun haknya berbanding negara yang mengamalkan sistem komunis.
“Ketahuilah bahawa kita sudah dapat selayaknya apa yang sepatutnya dapat. Malah sudah dapat lebih pun. Jangan terlalu kemaruk kuasa atau tamak. Seperti kata Almarhum Tunku Abdul Rahman, biarkan orang Melayu menjaga kuasa, orang Cina menjaga bisnes. Ada kuasa jika disalahgunakan tidak membawa apa-apa erti,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Ridhuan berharap anak-anak buah baru yang dilantik itu tidak seperti apa yang disebut oleh pepatah Cina ‘Lebih mudah berjumpa tuan neraka daripada berdepan penjaga-penjaga neraka yang banyak menimbulkan masalah’.
“Kadangkala nak jumpa orang besar ini sikit punya seksa. Macam-macam alasan diberikan oleh penjaga-penjaga ini, sehingga hampir setahun temu janji tidak kesampaian.
“Benarlah kata orang, sebenarnya menteri atau pembesar itu tidak sombong, yang sombongnya orang keliling-kelalangnya, termasuk PA menteri pun sombong bukan main. Inilah (sikap yang) mencalarkan imej menteri dan Kabinet. Cucuk sana cucuk sini, laga sana laga sini. Justeru, berhati-hatilah memilih orang sekeliling wahai pembesar dan pak menteri,” katanya.
