PKR-PAS masih bincang PRK Sg Besar, Kuala Kangsar

PKR-PAS masih bincang PRK Sg Besar, Kuala Kangsar

Shamsul Iskandar berkata, masih ada masa untuk berunding dengan PAS berhubung PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

PRK

PETALING JAYA:
PKR akan meneruskan perbincangan dengan PAS mengenai isu meletakkan calon di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sehingga ia dimuktamadkan Pakatan Harapan (PH).

Naib Presidennya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, PKR tidak menarik diri daripada rundingan itu, walaupun selepas pemimpin PAS bertegas parti Islam itu akan bertanding di kedua-dua PRK berkenaan.

“Setakat yang kita tahu, kita ada masa sehingga 5 Jun untuk berunding,” katanya yang merujuk kepada hari penamaan calon untuk PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pakatan itu akan mengadakan mesyuarat Majlis Presiden di Parlimen pada Khamis ini untuk membincangkan isu itu.

Sebelum ini, PKR dilaporkan mahu PAS hanya bertanding di Kuala Kangsar dan memberi laluan kepada calon PH untuk bertanding di Sungai Besar.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula dilaporkan sebagai berkata, parti itu mahu menurunkan calon di kerusi terbabit kerana peluang mereka lebih cerah untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu dan Cina berbanding PAS atau AMANAH yang hanya cenderung kepada Melayu.

Isnin lalu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad mengumumkan tiga nama, termasuk Presidennya, Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden, Salahuddin Ayub antara calon yang dicadangkan parti itu.

Minggu lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertegas yang parti Islam itu akan bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen terbabit memandangkan ia adalah kerusi tradisi mereka selama ini.

Hadi berkata, perbincangan dengan PKR telah tamat dan PAS membuat keputusan muktamad untuk bertanding di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.