Dalam ucapan pelancaran Muktamar Dewan Pemuda PAS hari ini, beliau berkata sistem undang-undang Islam menjamin keadilan kepada golongan bukan Islam.
Justeru beliau meminta isu itu dibincang dengan ilmu pengetahuan dan maklumat, dan bukannya sentimen perkauman dan keagamaan.
“Kami membawa usul tersebut untuk memberi peluang kepada rakyat berbincang dan memahaminya,” katanya.
Beliau berkata lagi, PAS sentiasa bersedia untuk berdialog dengan mana-mana pihak untuk memberi kefahaman berhubung usaha parti itu meningkatkan kedudukan Mahkamah Shariah.
Beliau juga mengecam beberapa menteri Barisan Nasional yang mengancam untuk meletak jawatan jika usul tersebut diluluskan.
Katanya, mereka sepatutnya meletakkan jawatan ekoran isu 1MDB dan pelbagai isu lain yang membebankan rakyat, seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Mereka tidak seharusnya menghalang orang Islam menuntut hak kita menunaikan tuntutan agama. Mereka sepatutnya menumpukan perhatian kepada isu-isu ini (seperti GST), yang memberi kesan kepada rakyat.”
Tuan Ibrahim juga menyifatkan muktamar kali ini sebagai meraikan kejayaan pembentangan Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Katanya, PAS sentiasa konsisten dalam menuntut perubahan di bawah ruang lingkup undang-undang dan berharap ahli Parlimen beragama Islam sedar akan tanggungjawab mereka terhadap agama.
Pada 26 Mei lalu, Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya membawa usul tersebut di Parlimen.
Ekoran itu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dan Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam berkata mereka akan meletakkan jawatan dalam Jemaah Menteri jika ia diluluskan Parlimen.
