Muzik Bollywood senjata lawan militan Daesh

Muzik Bollywood senjata lawan militan Daesh

Pegawai perisik kelahiran Pakistan yang bekerja dengan tentera Britain menyifatkan irama Bollywood akan menaikkan kemarahan IS kerana ia bertentangan dengan Islam.

Bollywood
PETALING JAYA: Beberapa hari yang lalu berita mengenai muzik dan gerak tari Bollywood sebagai terapi untuk pesakit tua di sebuah hospital di London dikongsi, hari ini muzik yang sama digunakan untuk menentang militan Daesh.

Laporan Daily Mirror menyatakan tentera Britain bertindak memasang muzik Bollywood sebagai senjata menentang militan Daesh di Libya.

Difahamkan, nasihat itu datang dari pegawai perisik kelahiran Pakistan yang bekerja dengan tentera Britain menyifatkan irama Bollywood akan menaikkan kemarahan IS kerana ia bertentangan dengan Islam.

“Kami perlu membuatkan mereka kebingungan dan pada masa sama menggunakan langkah pasif untuk mengukur kekuatan mereka di kawasan kami berada dan ia berjalan lancar,” kata sumber kepada Daily Mirror.

Pasukan itu yang menjadi sebahagian unit Arahan Operasi Khas Bersama (JSOC), turut terbabit melatih askar Libya cara mengusir IS dari bandar Sirte dan sepanjang 185 kilometer pesisir pantai negara itu.

Laporan itu juga mendedahkan, unit operasi psikologi tentera khas itu memintas komunikasi IS dan menyiarkan irama Bollywood, sebagai membalas dendam di atas pelaksanaan undang-undang Syariah di Sirte yang mengharamkan semua perkara berkaitan barat atau dianggap sia-sia.

Justeru penyiaran lagu Bollywood dilihat sebagai penghinaan melampau oleh kumpulan militan itu.

Tentera Britain dan Libya meninggalkan dua kereta yang dipasang dengan muzik Bollywood berhampiran Sirte yang dipercayai boleh mengganggu militan tersebut.

Dalam pada itu, senjata muzikal itu juga membantu mendedahkan tempat persembunyian mereka apabila mengadu mengenai muzik itu menerusi radio.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.