Anak Muammar Gaddafi dibunuh 4 lelaki bersenjata

Anak Muammar Gaddafi dibunuh 4 lelaki bersenjata

Ada yang menganggap Saif al-Islam Gaddafi pengganti bapanya, walaupun ICC mengeluarkan waran tangkap kepadanya atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan.

Seif al-Islam Kadhafi
Saif al-Islam Gaddafi, anak bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu rumahnya di Zintan, barat Libya. (Gambar EPA Images)
TRIPOLI:
Saif al-Islam Gaddafi, anak lelaki bekas pemerintah Libya, Muammar Gaddafi dibunuh sekumpulan lelaki bersenjata yang menyerbu rumahnya di barat Libya, Zintan, kata peguamnya Marcel Ceccaldi kepada AFP.

“Dia dibunuh pada 2 petang ini (1200 GMT)…oleh empat lelaki di rumahnya di Zintan,” kata Ceccaldi.

Sesetengah pihak menganggap Saif al-Islam, 53, pengganti bapanya, walaupun Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran kepadanya atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan.

Pada 2021, beliau mengumumkan akan bertanding jawatan presiden, sebelum pilihan raya itu ditangguhkan.

Penasihatnya, Abdullah Othman Abdurrahim, memberitahu saluran televisyen Al-Ahrar Libya, empat lelaki tidak dikenali menyerbu rumah Saif al-Islam sebelum “menutup kamera pengawasan dan membunuhnya”.

Tidak jelas dalang di sebalik pembunuhan itu.

Ceccaldi berkata, seorang rakan rapat Saif al-Islam memberitahunya beberapa hari lalu, “ada masalah dengan keselamatannya”.

“Sehinggakan ketua puak (Gaddafi) menghubungi Saif dan memaklumkan ‘Saya akan hantar orang untuk memastikan keselamatan anda’, tetapi ditolak Saif,” katanya.

Walaupun Saif al-Islam tidak memegang sebarang jawatan rasmi di negara Afrika Utara itu ketika pemerintahan bapanya, beliau pernah disifatkan sebagai perdana menteri de facto Libya, membentuk imej sederhana dan reformis sebelum kebangkitan Arab Spring pada 2011.

Bagaimanapun, reputasi itu musnah apabila beliau menjanjikan “pertumpahan darah” dalam menghadapi kebangkitan berkenaan.

Saif al-Islam ditahan di selatan Libya pada November 2011 susulan waran tangkap dikeluarkan ICC di The Hague.

Mahkamah di Tripoli menjatuhkan hukuman mati ke atasnya pada 2015 selepas perbicaraan pantas, tetapi beliau kemudiannya diberikan pengampunan.

Sejak itu, beliau tidak diketahui berada di mana. Ceccaldi berkata, beliau “sering berpindah-randah”.

Jurucakap terakhir Muammar Gaddafi, Moussa Ibrahim, dalam catatan di media sosial berkata: “Mereka bunuhnya dengan kejam. Beliau mahukan Libya yang bersatu, berdaulat dan selamat untuk semua rakyatnya.

“Saya bercakap dengannya dua hari lalu. Beliau hanya bercakap mengenai Libya yang aman dan keselamatan rakyatnya.”

Libya masih bergelut untuk pulih daripada kekacauan yang tercetus selepas kebangkitan disokong Nato pada 2011 yang menyaksikan Muammar Gaddafi digulingkan.

Libya kekal berpecah belah antara kerajaan berpusat di Tripoli yang disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan pentadbiran timur oleh Haftar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.