Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata JKM membuat siasatan terhadap Taska terbabit Rabu lepas dan mengeluarkan surat peringatan untuk Taska itu didaftarkan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh tersebut.
“Sekiranya ia gagal dalam tempoh yang diberikan untuk mengemukakan dokumen yang diperlukan, Taska berkenaan boleh dikunci,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rohani berkata beliau amat terkejut, sedih dan kecewa dengan kejadian yang menimpa bayi tersebut.
Katanya, kes itu disiasat oleh Pegawai Penyiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menyebabkan berlaku penganiayaan terhadap bayi.
Rohani berkata JKM juga memberikan perhatian serius terhadap kebajikan kanak-kanak tersebut dan memberikan khidmat kaunseling kepada ibu mangsa.
“Saya berharap agar perkara ini tidak berulang lagi dan berharap semua pihak segera membuat aduan dengan menghubungi Talian Kasih 15999 untuk melaporkan tentang kes penderaan sebegini,” katanya.
Semalam, polis menahan pemilik dan bekas pekerja Taska terbabit bagi membantu siasatan berhubung kes bayi yang disyaki didera dengan gambar mereka menjadi viral dalam laman sosial.
Hari ini, seorang lagi bekas pekerja Taska itu turut ditahan bagi membantu siasatan.
-BERNAMA
