Susulan laporan Wall Street Journal pada 31 Mac bahawa Nazir mengendalikan AS$7 juta bagi pihak abangnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, CIMB Bank perlu menyiasat hingga ke akar umbi.
“Lembaga pengarah bank perlu memutuskan sama ada saya melakukan kesalahan dan sama ada mereka masih mahukan saya sebagai pengerusi.
“Saya berpendapat bagi mereka melakukannya dengan betul, saya perlu berundur,” katanya dalam rancangan terbitan Astro Awani, ‘Obviously Harith Iskander’ malam tadi.
Setelah beliau bercuti, bank melantik firma audit luar, Messrs Ernst & Young untuk membantu dalam semakan yang akhirnya mendapati Nazir tidak menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua eksekutif kumpulan pada ketika itu atau wujud sebarang bukti bahawa sumber bank itu diselewengkan.
Pada 18 Mei, CIMB Bank mengeluarkan kenyataan semakan itu turut mengenal pasti beberapa kelemahan yang disusuli arahan Lembaga Pengarah supaya pihak pengurusan melakukan usaha penambahbaikan dengan segera.
Selain bertujuan mengukuhkan peraturan dalaman dan proses berkaitan bagi mengelak kejadian itu berulang, langkah itu juga dilakukan demi kemajuan masa depan kumpulan CIMB.
“Saya sudah berada dalam perniagaan selama 25 tahun, termasuk 15 tahun sebagai ketua eksekutif… dan sepanjang tempoh itu, saya terpaksa membuat keputusan segera. Saya berharap sebahagian daripadanya adalah baik,” katanya.
-BERNAMA
