Budiman tidak mahu kempennya diganggu usul Hadi

Budiman tidak mahu kempennya diganggu usul Hadi

Ajukan semua soalan berkenaan usul Hadi pada PAS, kata calon BN itu

Budiman-Mohd-Zohdi

SUNGAI PANJANG:
Calon BN, Budiman Mohd Zohdi tidak mahu kempennya untuk memenangi hati pengundi diganggu usul Hadi.

Ketika ditanya mengenai pendiriannya berhubung usul tersebut sekiranya menang kelak, Budiman meminta pengundi Sungai Besar supaya memilihnya terlebih dahulu.

Usul Hadi, atau Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), akan dibawa semula ke Dewan Rakyat Oktober depan.

“Fokus saya adalah nak menang PRK. Bagi saya menang dulu,” katanya dalam sidang media di Operasi Utama BN di Sungai Panjang hari ini,

Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata partinya mahu menggunakan usul Hadi ini sebagai bahan kempen dalam pilihan raya kecil Sungai Besar.

Disoal lanjut, Budiman menunjukkan pihaknya tidak berminat dengan isu bawaan PAS itu.

“Saya fikir kerana isu ini dibawa oleh PAS, jadi penjelasan itu harus diambil daripada PAS.

“Saya kena terima hakikat: kita bangsa yang berbilang kaum, kita ada kepelbagaian budaya, resam, saya fikir ada banyak perkara yang perlu diambil kira,” kata anak jati Sungai Besar itu.

Secara keseluruhannya, Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18% pengundi Melayu, 30.68% pengundi Cina, 1.91% pengundi India dan 0.23% pengundi dari kaum lain.

Terdapat dua DUN dibawah Parlimen ini, iaitu Sekinchan yang dimenangi DAP dan Sungai Panjang yang dimenangi Budiman dalam pilihan raya sebelum ini.

Budiman menyatakan tidak mempunyai sebarang masalah mendekati pengundi Cina di Sungai Besar memandangkan parti komponen BN banyak membantu.

“Komponen daripada MCA, MIC dan Gerakan tiada masalah kerana mereka membantu habis-habisan,” ujarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.