Malaysia mohon tambah 10,000 kuota haji tahun ini

Malaysia mohon tambah 10,000 kuota haji tahun ini

TH berharap perdana menteri yang mempunyai hubungan sahabat dengan kerabat raja Arab Saudi dapat bantu minta kuota haji ditambah bagi tahun ini.

Abdul-Azeez
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini diminta supaya membantu Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menambah 10,000 lagi kuota jemaah haji dari Malaysia bagi musim haji tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata buat masa ini Najib sudah menghantar surat permohonan untuk menambah kuota haji itu melalui surat kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

“Setakat ini belum ada. Saya dan rakan-rakan serta perdana menteri akan bantu dan buat surat kepada Raja Arab Saudi (Raja Salman Abdulaziz Al Saud). Insya-Allah tahun ini berdoa agar tambah kuota lagi daripada sebelum ini seramai 22,320 jemaah.

“Kita berdoa dapat tambah kuota 10,000 jemaah lagi. Lazimnya kita akan dapat.

“Kita harap perdana menteri yang mempunyai hubungan sahabat dengan kerabat raja Arab Saudi dapat membantu TH tambah kuota haji,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Proton Exora kepada Johan Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan ke-59 di Bangunan TH, Jalan Tun Razak.

Malaysia ketika ini masih menunggu keputusan rayuan berhubung penambahan kuota jemaah untuk musim haji tahun ini daripada kerajaan Arab Saudi yang hanya akan diketahui apabila musim haji hampir tiba.

Kuota haji yang diberikan pada Malaysia ketika ini ialah 22,320 jemaah bermula pada 2013 berbanding 28,900 jemaah pada tahun sebelumnya.

Pengurangan kuota haji itu berikutan kerja perluasan Masjidil Haram di Mekah yang sedang giat berjalan ketika ini.

Sementara itu, Azeez menasihatkan semua jemaah haji untuk sentiasa mengemas kini buku dan surat tawaran untuk menunaikan Haji.

“Ini penting kerana terdapat kes jemaah yang sepatutnya dapat menunaikan haji terlepas kerana tidak mengemas kini nombor telefon terbaru mereka,” katanya.

Sementara itu, Azeez berkata kerajaan masih berusaha mendapatkan pampasan daripada kerajaan Arab Saudi berhubung pampasan jemaah yang terkorban dan cedera dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada musim haji September tahun lepas.

“Setakat ini masih belum ada berita bila nak bagi. Kita sudah tulis surat kepada kerajaan Arab Saudi. Saya percaya kerajaan Arab Saudi sedang urus sesuatu. Kita pun tak boleh nak tekan mereka. Kalau nak bagi kita terima.

“Raja Arab Saudi sendiri dah umum. Kalau ada rezeki insya-Allah. Apabila dapat pampasan itu, kita akan cari semua yang tercedera dan waris mangsa,” katanya.

Sebelum ini, Raja Salman dilaporkan mengarahkan pemberian wang pampasan kepada keluarga mangsa tragedi berkenaan sebanyak SAR1 juta.

Wang itu akan diberikan kepada keluarga setiap mangsa terkorban dan cedera serta mengalami kecacatan kekal akibat insiden itu manakala mereka yang mengalami cedera ringan akan diberikan pampasan SAR500,000.

Tragedi pada 11 September lepas itu mengorbankan lebih 100 jemaah dari seluruh dunia termasuk tujuh dari Malaysia.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.