TH umum dividen tertinggi dalam 8 tahun 3.50%

TH umum dividen tertinggi dalam 8 tahun 3.50%

Ia membabitkan agihan berjumlah RM3.22 bilion yang akan memanfaatkan 9.7 juta pendeposit.

Zulkifli Hasan (kanan) bersama pengurusan Lembaga Tabung Haji umum dividen 3.50% yang mencerminkan prestasi kewangan lebih baik.
PETALING JAYA:
Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat yang tertinggi dalam lapan tahun sebanyak 3.50% bagi tahun kewangan 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, berkata ia membabitkan agihan berjumlah RM3.22 bilion yang akan memanfaatkan 9.7 juta pendeposit dan kadar itu dicapai selepas mengambil kira pelunasan zakat sebanyak RM95.3 juta atau 2.577%.

“Agihan ini lebih tinggi berbanding 3.25% bagi 2024, sekali gus mencerminkan prestasi kewangan lebih baik,” katanya menurut Berita Harian pada majlis pengumuman agihan keuntungan TH 2025 di Kuala Lumpur.

Sejak ditubuhkan 62 tahun lalu, beliau berkata, TH mengagihkan RM49 bilion keuntungan secara kumulatif kepada pendeposit.

Jelasnya, jumlah pendapatan pelaburan TH tahun lalu meningkat kepada RM4.64 bilion berbanding RM4.56 bilion pada 2024, manakala aset pelaburan daripada RM95.06 bilion kepada RM96.37 bilion.

“Ia mencerminkan pertumbuhan portfolio berterusan dengan mengekalkan struktur alokasi aset seimbang.”

Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan dikreditkan ke akaun mulai 10 pagi esok menerusi platform THiJARI, kaunter TH, Bank Islam, Bank Rakyat dan saluran elektronik rakan strategik perbankan TH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.