Katanya, walaupun menghadapi cabaran pada bulan Ramadan, ia tidak menghalang jentera PKR dari selatan, barat dan Selangor untuk menumpukan kepada PRK Sungai Besar.
“Kita full force, walaupun dalam bulan Ramadan, seperti mana yang Rafizi Ramli cakap, barat, Selangor dan Selatan tumpu kepada PRK Sungai Besar. Manakala, Utara dan Pantai Timur tumpu ke Kuala Kangsar.
“Dakwaan jentera PKR tidak turun itu tidak benar, kerana kita berikan kerjasama yang cukup kuat,” katanya kepada FMT malam tadi.
Sebelum ini, watan-online.com yang memetik sumber menyatakan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali menarik semula jentera PKR daripada terlibat membantu kempen.
Ia ekoran beliau tersepit antara pertembungan PAS dan AMANAH di Sungai Besar.
Bagaimanapun, keadaan itu ditepis sendiri oleh Azmin apabila beliau semalam, menyatakan jentera parti itu akan digerakkan bagi membantu kempen PH dalam dua PRK di parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Sementara itu, Abdullah turut berpandangan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad BN mempunyai peluang besar untuk menang apabila berlaku pertembungan tiga penjuru adalah tidak benar untuk kali ini.
“Itu tidak apa, tiga penjuru itu kita anggap sebagai pilihan tetapi rakyat berkemampuan untuk berfikir dan ingin melihat BN dijatuhkan.
“Kalau setakat ingin menjadi penasihat itu biarkan. Rakyat tidak perlu yang macam itu. Kita mahukan yang benar-benar ‘reform’,” katanya.
Katanya, Mahathir sendiri sebagai perdana menteri yang berkhidmat 22 tahun menyarankan BN wajib ditewaskan dan bukannya lagi perkara sunat.
