Azmin ‘gembira’ jika AMANAH kalah PRK Sungai Besar – MyKMU

Azmin ‘gembira’ jika AMANAH kalah PRK Sungai Besar – MyKMU

Azmin berdepan dengan risiko pemberontakan dalaman kerana kemenangan AMANAH akan menguatkan kedudukan Rafizi Ramli

azmin-ali-rafizi-ramli

PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan ‘gembira’ sekiranya AMANAH tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

Ini kerana kemenangan parti serpihan itu akan menguatkan kedudukan kumpulan yang bersaing dengan kem Azmin dalam parti dan komponen pakatan lain.

“Sumber kem Azmin menyatakan sekiranya calon PAN, Azhar Shukor, memenangi PRK ini, kumpulan Rafizi Ramli (Setiausaha Agung PKR) akan besar kepala dan tidak mustahil akan menyingkirkan beliau pada masa akan datang,” kata portal pro-UMNO, MyKMU.net.

“Kekalahan AMANAH di PRK Sungai Besar akan memberi isyarat jelas kepada Presiden Parti bahawa Azmin mempunyai strategi politik yang lebih baik berbanding Rafizi.

“Sekiranya AMANAH masih menang tanpa bantuan jentera Azmin, Menteri Besar Selangor tersebut bakal berhadapan dengan ‘pemberontakan’ dalaman dari PKR dan DAP.

“Justeru mahu tidak mahu Azmin perlu memastikan calon AMANAH tidak mendapat undi yang mencukupi dari kaum Melayu untuk menang PRK kali ini,” menurut sumber MyKMU.

Sebelum ini, Azmin dilaporkan tidak dapat memberikan komitmen sepenuh masa untuk berkempen membantu calon Pakatan Harapan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Katanya, sukar untuk menentukan jadual harian beliau lantaran kesibukan mengiring Sultan Sharafuddin Idris Shah ke majlis berbuka puasa di Selangor.

Disamping itu juga, pemimpin kanan PKR itu juga dikatakan telah menarik semua jentera pilihan raya di bawah kawalannya kerana kecewa partinya dan PAS tidak menyokong cadangannya agar PKR bertanding satu lawan satu menentang BN di Sungai Besar.

Bagi MyKMU, walaupun pelbagai alasan yang diberikan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai ‘kehilangan’ jentera PKR Selangor di bawah Azmin, apa yang nyata ialah Menteri Besar Selangor itu telah bersedia mengorbankan kerusi kawasan berkenaan untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.