China sekat umat Islam berpuasa

China sekat umat Islam berpuasa

Arahan itu dikeluarkan menerusi laman web kerajaan dan ditujukan kepada penjawat awam, pelajar, anggota parti pemerintah dan kanak-kanak.

china ramadhan

BEIJING:
Seperti tahun-tahun sebelumnya, China mengeluarkan arahan melarang penjawat awam, pelajar dan kanak-kanak di wilayah majoriti Muslim negara itu daripada menjalani ibadah puasa Ramadan ini.

Arahan yang disebarkan melalui laman web kerajaan itu turut melarang restoran ditutup siang hari.

Parti Komunis Cina yang memerintah negara itu secara rasminya berfahaman ateis dan sekian lama melarang penjawat awam dan golongan bawah umur di Xinjiang untuk berpuasa.

Xinjiang merupakan wilayah diduduki kira-kira 10 juta etnik Uighur yang kebanyakannya beragama Islam.

Pertembungan antara etnik Uighur dan pihak berkuasa juga kerap berlaku di situ.
Beijing sebelum ini sering menuduh puak militan yang menuntut kemerdekaan bagi wilayah yang kaya dengan sumber asli tersebut mendalangi beberapa siri serangan.

Minggu lalu, beberapa jabatan kerajaan tempatan di Xinjiang menyiarkan notis di laman web mereka berhubung larangan berpuasa ketika Ramadan.

“Ahli parti, kader, penjawat awam, pelajar dan warga di bawah umur tidak boleh berpuasa ketika Ramadan dan dilarang mengambil bahagian dalam kegiatan keagamaan,” kata notis yang mula dipaparkan Khamis lalu dalam laman web bandar Korla, Xinjiang tengah.

“Ketika Ramadan, perniagaan makanan dan minuman tidak boleh ditutup,” kata notis itu lagi.

Kerajaan China mengenakan kawalan ketat terhadap kumpulan agama, walaupun seringkali mendakwa rakyatnya menikmati hak kebebasan beragama.

Agensi berita rasmi Xinhua menyiarkan ucapan menyambut Ramadan dari Pegawai Tinggi Parti Komunis di Xinjiang, Zhang Chunxian, kepada penganut Islam di wilayah itu.

Khamis lalu pula, Kabinet menerbitkan kertas putih mengisytiharkan tahap kebebasan beragama di Xinjiang ketika ini “tidak boleh ditandingi oleh mana-mana era dalam sejarah”.

“Ketika Ramadan, restoran yang dimiliki orang Islam boleh menentukan sama ada mereka mahu meneruskan perniagaan. Tidak akan ada campur tangan,” kata kertas putih itu.

“Kerajaan tempatan akan memastikan semua kegiatan keagamaan ketika Ramadan akan berjalan dengan tertib.”

– REUTERS

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.