Penjawat awam Indonesia dipecat, ‘tersalah’ taip KPK

Penjawat awam Indonesia dipecat, ‘tersalah’ taip KPK

Hasil siasatan mendapati ada unsur sabotaj apabila Suruhanjaya Pembanterasan Korupsi dieja ‘perlindungan’ korupsi.

Suruhanjaya-Pembanterasan-Korupsi
JAKARTA: Gara-gara menaip nama Suruhanjaya Pembanterasan Korupsi (KPK) menjadi ‘Suruhanjaya Perlindungan Korupsi’, seorang penjawat awam di Kementerian Dalam Negeri terus dipecat serta-merta semalam.

Media tempatan di sini hari ini memetik Menteri Dalam Negeri Tjahjo Kumolo sebagai berkata hasil siasatan mendapati terdapat unsur sabotaj dalam kementeriannya kerana perkara itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, insiden terbabit memalukan kementerian dan perbuatan itu tidak dapat dimaafkan agar menjadi pengajaran kepada petugas lain supaya tidak berani untuk membuat sebarang sabotaj terhadap kementerian.

Beliau berkata, perbuatan petugas terbabit tersebar luas dalam media sosial yang menyebabkan pihak kementerian terpaksa memohon maaf secara bertulis kepada KPK.

KPK ialah sebuah agensi suruhanjaya pencegahan rasuah di Indonesia dan kebelakangan ini mendapat liputan media hampir setiap hari kerana menerobosi siasatan rasuah di semua jabatan kerajaan termasuk Parlimen, dewan rakyat daerah dan pejabat gabenor.

Kesalahan menaip nama KPK di atas satu sampul surat yang dihantar kepada ketua suruhanjaya itu dari Kementerian Dalam Negeri dikesan petugas KPK sendiri dan kemudian ia tersebar luas dalam media sosial orang awam.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.