BDR 3 hari bagi penjawat awam tertentu

BDR 3 hari bagi penjawat awam tertentu

BDR secara berperingkat dibenarkan bagi penjawat awam tertentu.

perhimpunan penjawat awam
Penjawat awam tertentu dibenarkan BDR di rumah yang didaftarkan dan dikehendaki guna sistem bagi membolehkan perekodan kehadiran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penjawat awam yang berkhidmat di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, dan semua ibu negeri serta jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi 8km dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) secara berperingkat.

Menurut pekeliling, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, mengumumkan mereka yang memenuhi syarat tersebut dibenarkan BDR selama tiga hari seminggu, mulai 15 April.

Pelaksanaan BDR secara berperingkat ini adalah langkah strategik kerajaan bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat, menurut pekeliling itu.

Mereka yang berkenaan dibenarkan BDR di rumah yang didaftarkan dalam Sistem Pengurusan Maklumat sumber Manusia, dan dikehendaki menggunakan Sistem Pemantauan Operasi Tugas Secara Elektronik bagi membolehkan perekodan kehadiran.

Pada masa sama, ketua jabatan hendaklah menentukan perkhidmatan penting dan menyusun hari BDR mengikut kesesuaian operasi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas.

Ketua jabatan juga perlu mengenal pasti output bagi setiap pegawai yang BDR, dan dikehendaki menyemak serta mengesahkan secara berkala sasaran kerja dan output yang ditetapkan.

Bagi negeri-negeri di mana hari kelepasan mingguan adalah Ahad: BDR pada Selasa hingga Khamis secara sepenuh hari.

Bagi negeri-negeri di mana hari kelepasan mingguan adalah Jumaat: BDR pada Isnin hingga Rabu secara sepenuh hari.

Dalam pada itu, perkhidmatan tertentu dalam sektor keselamatan dan pertahanan, kesihatan, serta pendidikan dikecualikan daripada BDR.

Perkhidmatan yang dikecualikan daripada BDR dalam sektor keselamatan dan pertahanan: tentera, polis, bomba, penjara, maritim, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, dan imigresen.

Dalam sektor kesihatan: pegawai perubatan, pegawai farmasi, pegawai pergigian, jururawat, dan lain-lain skim perkhidmatan bawah klasifikasi perkhidmatan perubatan dan kesihatan.

Dalam sektor pendidikan: pegawai perkhidmatan pendidikan yang terlibat dengan sesi persekolahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.