Rakyat akan pilih BN walau diasak Tun M – TPM

Rakyat akan pilih BN walau diasak Tun M – TPM

Mengingatkan rakyat dan Dr Mahathir supaya tidak terlalu membenci Datuk Seri Najib Razak.

SUNGAI BESAR:
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau percaya pengundi di Sungai Besar akan tetap memilih BN walaupun diasak oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata beliau percaya jiwa masyarakat dan pengundi di Sungai Besar akan tetap memilih dan mengundi BN pada hari mengundi 18 Jun ini.

“Terdapat gelombang perubahan pengundi di atas pagar untuk bersama BN pada kali ini.

“Tentunya ucapan Tun M sering diviralkan di media sosial dan diharap ia tidak mempengaruhi keputusan pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar,” katanya ketika mengadakan lawatan di Pusat Media, hari ini.

Katanya, beliau tahu Mahathir hanya cuba untuk menjatuhkan BN dan sejujurnya beliau tidak mahu bekas perdana menteri itu bertindak sedemikian.

“Kita faham beliau berada dalam persimpangan jalan politik untuk uji adakah beliau masih mempunyai populariti atau pengaruh.

“Kerana sewaktu menjadi pemimpin beliau menanamkan kepada kami rasa cinta kepada BN, insya-Allah kita akan ikut,” katanya.

Zahid berkata rakyat dan Mahathir diingatkan supaya tidak terlalu membenci Datuk Seri Najib Razak.

“Saya nak ingatkan diri saya kalau saya pernah dibenci, kita harap tidak ada rakyat yang membenci tokoh tertentu.

“Sakit rasanya bila ada kebencian yang datang dan harap Allah memaafkan agar kebencian itu tidak ditanam,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir menggesa pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menolak Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor bagi membuktikan kebencian rakyat pada pemimpin berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.