Rakyat perhatikan kejujuran Guan Eng – MCA

liow-lim-guan-eng

SUBANG JAYA: Rakyat sedang memerhati tindak tanduk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sama ada beliau akan membuat keputusan bercuti atau sebaliknya, sehingga mahkamah memutuskan dakwaan rasuah terhadapnya.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pemimpin DAP itu sebelum ini lantang mendesak individu yang didakwa rasuah, terutamanya ahli politik Barisan Nasional, supaya bercuti bagi memudahkan pihak berkuasa melakukan siasatan.

“Sebagai pemimpin, beliau perlu ada kebijaksaan itu,” kata Tiong Lai kepada pemberita seusai perasmian Projek Penyambungan Jajaran Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya dan Ampang/Sri Petaling di Terminal LRT Putra Heights hari ini.

Katanya, rakyat akan menganggap Guan Eng ibarat cakap tak serupa bikin sekiranya tidak menyahut seruan sendiri.

“Sebelum ini dia minta orang lain letak jawatan dan bercuti. Kini giliran beliau. Rakyat sedang melihat apa yang beliau lakukan,” katanya.

Pagi tadi, Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mendakwa Setiausaha Agung DAP itu di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan, atas tuduhan salah guna kuasa untuk kepentingan diri dan isterinya dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem Sdn Bhd untuk menukar tanah pertanian kepada tujuan kediaman pada mesyuarat Exco bertarikh 18 Julai 2014.

Manakala ahli perniagaan, Phang Li Khoon didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Guan Eng pada 28 Julai 2015 berhubung pembelian banglo di Jalan Pinhorn.

Sementara itu, mengulas dakwaan adanya unsur pendakwaan politik terhadap Guan Eng, Tiong Lai menjawab Malaysia mengamalkan sistem perundangan yang baik.

“Biarlah undang-undang yang menentukan. Kita tahu negara kita negara demokrasi, proses pendakwaan juga telus. Biarkan dia jawab di mahkamah.”