Noh puji pendirian Pas kaji cadangan Dr Mahathir

Noh puji pendirian Pas kaji cadangan Dr Mahathir

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor itu juga yakin Pas tidak akan menyertai gabungan penubuhan Pakatan Pembangkang baharu itu.

noh-mahathir

SHAH ALAM :
Tan Sri Noh Omar memuji prinsip Pas mengkaji cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai penubuhan Pakatan Pembangkang baharu yang akan dianggotai parti-parti politik pembangkang bagi bertanding menentang Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Malah, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor itu juga yakin Pas tidak akan menyertai gabungan penubuhan Pakatan Pembangkang baharu itu.

Jelasnya, ini kerana terdapat pemimpin-pemimpin gabungan pembangkang yang tidak menghormati agama.

“Setiap parti ada prinsip perjuangan sendiri. Misalnya bagi Pas, syaratnya mesti menghormati agama, kedaulatan negara dan Islam.

“Jadi jika ada pemimpin-pemimpin gabungan pembangkang yang tidak menghormati kedaulatan Islam, atau perlembagaan kita, saya tak fikir parti yang berprinsip (Pas) akan bergabung dengan parti ini (gabungan pembangkang),” katanya dalam sidang media di Majlis Rumah Terbukanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang akan mengkaji secara teliti cadangan bekas Dr Mahathir untuk menubuhkan parti politik baharu.

Dr Mahathir baru-baru ini mengumumkan penubuhan pakatan pembangkang baharu yang akan dianggotai parti-parti politik pembangkang untuk bertanding dalam PRU-14.

Sementara itu, Noh turut mencabar PKR yang diterajui Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengambil tindakan terhadap Naib Presidennya Darrel Leiking yang mendakwa Selangor ditadbir oleh kumpulan ekstremis berikutan kandungan khutbah Aidilfitri menyentuh mengenai Rang Undang Undang Syariah.

“Kalau Menteri Besar Selangor (Azmin) dan Wan Azizah ada maruah, mempertahankan kesucian agama Islam..kita nak lihat apa tindakan yang diambil terhadap Naib Presiden PKR itu.

“Kalau tidak, bagi saya PKR tidak menghormati kesucian agama Islam di Selangor,” tegasnya.

Darrel dalam Facebooknya baru-baru ini menuduh Selangor diperintah kumpulan ekstremis berikutan kandungan khutbah Aidilfitri yang menyentuh mengenai Rang Undang Undang Syariah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.