Saya tidak akan sertai politik – Gani Patail

Saya tidak akan sertai politik – Gani Patail

Abdul Gani menyifatkan senarai nama yang tersebar itu sebagai palsu dan satu pembohongan.

gani-patail

KUALA LUMPUR:
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menafikan pembabitannya dalam parti baharu bakal ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas namanya tersenarai antara barisan kepemimpinan tertinggi parti itu yang tersebar melalui media sosial semalam.

“Pengeluaran senarai nama individu yang dikatakan terlibat dalan penubuhan parti baharu itu baru-baru ini adalah palsu dan satu pembohongan.

“Saya tidak pernah terlibat dan tidak akan terlibat dalam politik. Saya sememangnya dan akan senantiasa menjadi seorang profesional,” kata Abdul Gani menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

Senarai barisan kepemimpinan tertinggi parti politik baharu yang dikatakan bakal dibentuk bekas perdana menteri itu antara lain menyenaraikan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden, manakala bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai timbalannya.

Sementara naib presiden parti baharu itu terdiri daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim; bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz turut dinamakan bendahari dan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memegang jawatan setiausaha agung.

Abdul Gani disenaraikan sebagai ahli Majlis Tertinggi yang turut dibarisi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; bekas Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim; bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Selain Abdul Gani, beberapa pemimpin lain termasuk Abdul Wahid, Ibrahim, Rafidah dan Khairuddin turut menafikan pembabitan mereka dalam parti baharu itu dengan menyifatkan penyenaraian nama mereka sebagai sesuatu yang karut, palsu dan mungkin dilakukan pihak tertentu yang kurang bijak serta berniat jahat.

Khamis lepas, Dr Mahathir mengumumkan satu pakatan pembangkang melibatkan sebuah parti baharu, PKR, DAP dan Amanah akan ditubuhkan untuk menentang Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.