Kerajaan digesa laksana hukuman mati terhadap pemandu mabuk sebabkan kematian

Kerajaan digesa laksana hukuman mati terhadap pemandu mabuk sebabkan kematian

Kerajaan juga digesa senarai hitam pemandu mabuk daripada memandu seumur hidup.

kemalangan mabuk
Seorang penunggang motosikal maut dirempuh kereta dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kejadian di Klang, semalam.
PETALING JAYA:
Wakil rakyat pembangkang mendesak kerajaan mengambil langkah lebih tegas dengan mengkaji pelaksanaan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata ia bukan soal menghukum semata-mata, tetapi sebagai mesej jelas nyawa manusia tidak boleh dipandang ringan dan sebarang tindakan membahayakan orang lain akan berdepan akibat paling berat.

“Ternyata, hukuman sedia ada masih gagal memberikan kesan pencegahan yang mencukupi. Insiden seumpama ini terus berulang, membuktikan pendekatan undang-undang ketika ini tidak lagi memadai untuk menangani isu pemanduan mabuk yang semakin membimbangkan,” kata bekas pemimpin Bersatu dalam kenyataan.

Semalam, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut dirempuh kereta dipandu lelaki bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kejadian di Klang.

Ketua Polis Klang Selatan, Lim Jit Huey, berkata impak pertembungan mengakibatkan mangsa berusia lingkungan 30-an tercampak ke atas kereta berasingan dalam nahas sekitar 11.40 pagi.

Wan Fayhsal berkata, apabila seseorang berada bawah pengaruh alkohol tetapi tetap memilih untuk memandu, undang-undang sewajarnya menganggap individu tersebut mempunyai niat untuk membunuh kerana tindakan itu secara nyata berisiko tinggi meragut nyawa orang lain.

“Kerajaan perlu segera meminda undang-undang sedia ada, termasuk memperketatkan penguatkuasaan serta memperluaskan kesedaran awam mengenai bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerantut daripada PAS, Khairil Nizam Khirudin, menggesa kerajaan menyenarai hitam pemandu mabuk daripada memandu seumur hidup.

Katanya, pemandu bawah pengaruh alkohol bukan sekadar melanggar undang-undang malah menjadi ancaman nyata kepada nyawa orang lain.

“Saya menegaskan kerajaan perlu memperkasa pelaksanaan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, khususnya Seksyen 44 dan 45A, dengan mengenakan hukuman lebih tegas kepada pesalah pemandu mabuk.

“Tidak perlu lagi sekadar menggantung lesen, pesalah wajar terus dihitamkan (blacklist) seumur hidup daripada memandu,” katanya.

Khairil turut mencadangkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000 dilaksanakan secara konsisten tanpa kompromi.

Dalam pada itu, Pemuda PAS sedia menawarkan khidmat guaman sukarela kepada keluarga mangsa bagi tuntutan undang-undang yang seadilnya.

“Kematian mangsa mesti dibela, kes pemandu mabuk yang melanggar dan membunuh nyawa yang tak berdosa mesti dinoktahkan segera,” kata Ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.