Katanya, ia kerana pertuduhan rasuah membabitkan Ketua Menteri Lim Guan Eng boleh memberi kesan terhadap kepimpinan moral beliau dan oleh itu penting kuasa dipulangkan kepada rakyat bagi menentukan kepimpinan baharu.
“Saya menyeru sekutu politik dan bukan politik DAP menyokong kuat keputusan mengadakan pilihan raya mengejut. Boleh difahami sekiranya sesetengah mereka enggan berbuat demikian kerana bimbang kalah seperti yang berlaku pada pilihan raya Kuala Kangsar dan Sungai Besar,” kata Zaid dalam kenyataannya.
“Amanah dan PKR perlu yakin yang rakyat termasuk orang Melayu boleh membezakan yang hak dan batil,” kata beliau.
Katanya, sebarang keputusan pilihan raya itu juga dapat menunjukan tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN), lebih-lebih lagi di sebalik perkembangan terbaharu di Amerika Syarikat di mana Jabatan Kehakiman mahu menyita aset berkait syarikat milik Kementerian Kewangan, 1MDB.
“Dengan ketiadaan pilihan raya umum, pilihan raya negeri boleh menjadi alternatif bagi rakyat Pulau Pinang meluahkan perasaan mereka tentang perdana menteri dan isu 1MDB,” kata Zaid.
Petang semalam, Guan Eng dilihat memasuki kediaman rasi Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, selepas sidang media mengumumkan ketidaksepakatan Pakatan Harapan berhubung cadangan DAP membubarkan DUN Pulau Pinang.
Guan Eng berkata pilihan raya akan hanya diadakan selepas mencapai kesepakatan dengan rakan komponen Pakatan Harapan.
Desas-desus PRN mengejut mula tersebar selepas enam wakil DAP, termasuk pimpinan kanan parti itu dilaporkan menemui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi membincangkan perkara itu yang dipercayai ada kaitan dengan pendakwaan Guan Eng di mahkamah atas tuduhan rasuah.
Pada 30 Jun, Guan Eng didakwa atas dua pertuduhan salah guna kuasa.
Beliau dituduh menggunakan kuasa ketua menteri dalam pengezonan semula tanah di Lot 436 dan 437 Derah Barat daya kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd, dan mendapatkan balasan dalam bentuk rumah banglo bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn yang dijual kepadanya di bawah harga pasaran.
