Turki tangkap 42 wartawan, dikecam EU

Turki tangkap 42 wartawan, dikecam EU

EU berkata Turki boleh melupakan hasrat memasuki kesatuan itu.

edrogan

ISTANBUL:
Kerajaan Turki semalam menahan 42 wartawan, sebahagian tindakan keras Presiden Tayyip Erdogan ke atas lebih 60,000 orang yang dituduh terlibat merampas kuasa.

Ia termasuk penangkapan dan penggantungan anggota tentera, polis, hakim dan penjawat awam, selepas percubaan sekumpulan tentera gagal merampas kuasa pada 15 Julai lalu.

Tindakan itu mengundang kritikan Kesatuan Eropah (EU) dan juga badan hak asasi, yang menganggap Erdogan cuba mengambil kesempatan menguatkan kuasanya.

Presiden EU, Jean-Claude Juncker turut mempersoalkan harapan Ankara mahu menjadi sebahagian EU.

“Saya percaya Turki dalam keadaannya sekarang bukan dalam posisi menjadi ahli pada masa ini mahupun untuk tempoh panjang yang akan datang,” Juncker memberitahu saluran TV France 2.

Juncker berkata sekiranya Turki mengembalikan hukuman bunuh, yang kini dipertimbangkan kerajaan selepas menerima gesaan menjatuhkan hukuman mati ke atas dalang rampasan kuasa, ia akan terus memberhentikan sebarang proses menerima Turki ke dalam EU.

Turki memansuhkan hukuman bunuh pada 2004 yang membolehkannya membuka perbincangan ke arah keahlian EU.

Erdogan baru-baru ini berkata kerajaan mungkin mempertimbangkan hukuman bunuh dikembalikan.

“Apa yang dimahukan rakyat Turki?” soal Erdogan dalam wawancara bersama televisyen Jerman.

“Mereka mahu hukuman mati dikembalikan. Dan kami sebagai kerajaan perlu mendengar suara rakyat.”

Sementara itu, Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu berkata Eropah tidak boleh mengugut Turki berkenaan hukuman mati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.