Tuntutan Dr M: Najib tidak perlu ke mahkamah

Tuntutan Dr M: Najib tidak perlu ke mahkamah

Hakim berkata pada peringkat ini, bukan tugas mahkamah untuk putuskan sama ada wujud percanggahan dalam afidavit perdana menteri atau tidak.

mahathir_law__najib_600

KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak perlu memberi keterangan berhubung kandungan afidavitnya yang didakwa mempunyai “percanggahan”.

Peguam Hafarizam Harun yang mewakili perdana menteri berkata Hakim Abu Bakar Jais memutuskan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ahli Umno yang dipecat Anina Saadudin dan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan gagal menunjukkan keperluan untuk memanggil Najib memberi keterangan terhadap afidavitnya.

Ketiga-tiga individu itu menyaman Najib atas dakwaan salah guna kuasa.

Pada 10 Mei, mereka memfailkan permohonan untuk memeriksa balas Najib di mahkamah berhubung afidavitnya.

Mereka mendakwa ia bercanggah, tidak konsisten dan kurang jelas dalam kandungannya. Afidavit itu bagi menyokong permohonan membatalkan tuntutan saman Dr Mahathir dan dua yang lain.

“Dalam perkataan mudah, perdana menteri tidak perlu datang ke mahkamah,” kata Hafarizam.

Peguam itu berkata mahkamah menetapkan 4 Ogos untuk pengurusan kes.

Peguam Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr Mahathir mengesahkan kenaytaan Hafarizam.

“Hakim berkata, pada peringkat ini bukan tugas mahkamah untuk memutuskannya, sama ada wujud percanggahan dalam afidavit Najib, atau tidak,” kata Haniff mengulas lanjut kenyataan Hafarizam.

“Ia terbuka untuk diputuskan pada peringkat membatalkan kes.”

Dr Mahathir, Anina dan Khairuddin mendesak supaya Najib diarahkan membayar kerajaan sebanyak RM2.6 bilion dan RM42 juta.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.