Serang Singapura gagal kerana gambar profil app LINE

line-isis-singapre

PETALING JAYA: Semuanya kerana media sosial, pihak berkuasa berjaya mematahkan percubaan melancarkan serangan roket ke arah Singapura dari kepulauan Batam.

Ia kerana salah seorang suspek, Gigih Rahmat Dewa, menukar gambar profil app pesanan LINE kepada imej menyatakan sokongan kepada kumpulan militan IS.

Gigih, 31, dan lima lagi ditangkap di kepulauan Batam di Indonesia Jumaat lalu oleh pihak berkuasa Indonesia selepas rancangan serangan menggunakan roket dari Batam ke Marina Bay.

Enam suspek yang berumur 19 hingga 46 tahun itu ditahan Unit Khas 88, skuad elit counter-terroris Indonesia.

Lima daripada mereka merupakan pekerja kilang, menurut laporan Reuters.

Siasatan mendapati betapa anggota militan kini menggunakan media sosial dalam berhubung sesama sendiri, termasuk dengan seorang militan IS di Syria yang dikatakan memberi arahan serangan tersebut.

“Kumpulan di Batam menjadi radikal menerusi media sosial, khususnya Facebook,” kata jurucakap polis Indonesia, Boy Rafli Amar, dipetik Reuters.

“Mereka berhubung dengan Bahrum Naim di Syria. Nampaknya dia memberikan dana dan arahan kepada mereka,” katanya merujuk dalang di sebalik serangan yang digagalkan itu, yang meninggalkan Indonesia bagi menyertai IS di Timur Tengah.

Siasatan mendapati Gigih dan kuncunya diarahkan melancarkan peluru roket ke Marina Bay, pusat bandar raya di tepi pantai yang turut menjadi tuan rumah Formula One Grand Prix dan menempatkan sebuah kasino dan bangunan pejabat.

Beberapa penduduk di Batam, yang hanya 15km dari Singapura, terkejut dengan penglibatan Gigih.

Gigih, isterinya dan bayi perempuan mereka tinggal di sebuah rumah sederhana.

Menurut akaun Facebooknya, dia berminat berbasikal dan mendaki.

“Kami terkejut seorang yang biasa sepertinya boleh menjadi suspek aktiviti radikal,” kata jirannya Rubiyati.

Monalisa, 23, yang pernah belajar bersama-sama Gigih di sebuah institut politeknik kerajaan, mengenali pelajar jurusan IT itu sebagai seorang yang biasa, “positif, ceria dan mesra dengan semua orang”.

Bagaimanapun, dia terkejut Mac lalu apabila Gigih memuatnaik gambar sekumpulan orang menaikkan bendera IS dalam profil sebuah grup LINE.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/05/indonesia-tangkap-6-individu-cuba-lancar-roket-ke-marina-bay/