
Sebelum itu, Calvin Cheng memuji pendirian Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan, yang menyatakan tindakan berunding mendapatkan laluan melalui selat itu boleh menjejaskan undang-undang antarabangsa.
“Singapura tidak berunding dengan pengganas. Sebaliknya, ada negara berbangga kononnya telah melakukan rundingan laluan, namun pada masa sama mengatakan mereka akan kehabisan minyak bulan depan,” catat Cheng di Facebook.
Terdahulu, Tehran telah membenarkan kapal mempunyai kaitan dengan Malaysia melalui selat berkenaan selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim membangkitkan isu terbabit secara langsung kepada Presiden Iran Masoud Pezeshkian.
Sekurang-kurangnya sebuah kapal tangki menuju ke Johor sudah menyambung semula perjalanannya, manakala enam kapal lagi akan diberikan pelepasan secara berperingkat.
Syahredzan menyifatkan kenyataan Cheng sebagai tersasar dan bersifat menghasut, sambil menambah kenyataan tersebut seolah-olah ditujukan kepada Malaysia, walaupun tiada nama negara disebut secara khusus.
“Biar saya jelaskan perkara ini: kita menghormati pendirian Singapura dalam konflik ini. Setiap negara mempunyai keperluan tenaga berbeza, dan menggunakan cara berlainan untuk mengatasi krisis tersebut,” kata naib pengerusi DAP itu dalam catatan Facebook.
“Malaysia juga akan menentukan jalan sendiri demi rakyatnya. Kerajaan kita akan melakukan apa sahaja diperlukan demi melindungi rakyat Malaysia, termasuk berunding untuk laluan melalui Selat Hormuz.”
Syahredzan berkata, komen sedemikian daripada pihak luar disifatkan tidak perlu dan tidak boleh diterima.
“Dan saya sangat pasti kenyataan Encik Cheng mengenai Malaysia tidak mencerminkan pendirian rasmi negaranya,” katanya.
“Namun, kenyataan seumpama itu akan menyemarakkan ketegangan antara rakyat kedua-dua negara, pada ketika kita sepatutnya tidak menyerang satu sama lain, sebaliknya cuba mengatasi kejutan terburuk pasca-pandemik yang pernah disaksikan dunia.”
Laluan Selat Hormuz, berperanan sebagai titik tumpuan strategik yang menyaksikan transit kira-kira 20% minyak mentah dan gas dunia, telah terjejas teruk susulan serangan berterusan Amerika Syarikat-Israel ke atas wilayah serta kemudahan Iran, sejak 28 Feb.
Walaupun Iran tidak menyekat laluan di perairan itu secara rasmi, ia menyatakan hanya akan membenarkan kapal dari negara ‘bukan musuh’ merentasi selat berkenaan.
Selain Malaysia, negara seperti Pakistan, India, dan Filipina juga telah berusaha mendapatkan atau menyelaraskan aturan laluan selamat melalui selat itu.