Perancangan persaraan luar negara yang boleh dipelajari Malaysia

Perancangan persaraan luar negara yang boleh dipelajari Malaysia

Pakar berkongsi pandangan ketika FMT meneliti bagaimana Singapura, Jerman dan Sweden menstruktur semula sistem pencen mereka untuk bertahan dalam keadaan tenaga kerja yang semakin mengecil.

Jabatan Perangkaan mengunjurkan nisbah tanggungan warga emas di Malaysia meningkat hampir tiga kali ganda daripada 7.4 pada 2010 kepada 21.7 menjelang 2040.
PETALING JAYA:
Kebergantungan yang terlalu tinggi kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat berisiko besar ketika Malaysia menuju ke arah negara menua.

Jangka hayat semakin panjang, kos sara hidup meningkat dan jumlah tenaga kerja semakin berkurangan dijangka mewujudkan tekanan fiskal yang boleh membebankan negara.

Jabatan Perangkaan menganggarkan nisbah tanggungan warga emas akan meningkat hampir tiga kali ganda, daripada 7.4 pada 2010 kepada 21.7 menjelang 2040. Ini bermakna, jika 2010 menyaksikan kira-kira 13 pekerja menyokong seorang pesara, angka ini bakal berubah kepada sekitar 4.6 pekerja yang perlu menanggung seorang pesara menjelang 2040.

Namun Malaysia bukan satu-satunya negara yang berdepan cabaran ini. FMT meneliti bagaimana negara seperti Singapura, Jerman dan Sweden menyesuaikan sistem mereka untuk menghadapi penyusutan tenaga kerja, sambil mendapatkan pandangan pakar.

Pelajaran daripada negara lain

Di Singapura, skim pendapatan sepanjang hayat di bawah Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dikenali sebagai CPF Life, mengumpulkan simpanan ahli ke dalam satu dana bersama. Daripada dana itu, pesara menerima bayaran bulanan seumur hidup, walaupun mereka hidup lebih lama daripada jangka hayat purata.

Ahli ekonomi Nur Azreen Mokhyi dari Centre for Future Labour Market Studies berkata skim itu menangani risiko jangka hayat panjang dengan menggabungkan simpanan individu dan perkongsian risiko secara kolektif.

“Pendekatan ini mengekalkan hak milik individu terhadap simpanan, sambil mengurangkan risiko kehabisan dana persaraan. Ia selari dengan dasar Singapura yang menekankan kebergantungan kendiri, disiplin menabung dan tahap kecukupan persaraan yang jelas,” katanya kepada FMT.

Di Sweden pula, sistem caruman takrifan maya (notional defined contribution) meliputi semua pekerja, sama ada sektor awam atau swasta. Sistem ini beroperasi secara ‘bayar semasa guna’ (pay-as-you-go), di mana pekerja semasa membiayai pesara hari ini.

Sweden juga menggalakkan rakyat terus bekerja melangkaui usia persaraan tradisional, sekali gus memastikan kadar penyertaan tenaga kerja tinggi dan pengangguran rendah.

“Keistimewaan utama model Sweden ialah mekanisme kelestarian terbina di dalamnya, yang melaraskan faedah mengikut keadaan demografi dan ekonomi, memastikan keseimbangan jangka panjang antara penyumbang dan penerima,” kata Azreen.

Bagi Jerman pula, sistem pencen berkanun berfungsi sebagai insurans sosial wajib yang turut menggunakan pendekatan ‘bayar semasa guna’.

Berbeza dengan sistem simpanan, pekerja di Jerman mengumpul ‘mata pencen’ setiap tahun berdasarkan perbandingan pendapatan mereka dengan purata nasional. Mata ini direkod sepanjang kerjaya dan kemudian ditukar kepada pencen bulanan seumur hidup yang dijamin.

Walaupun sistem Jerman memberikan perlindungan lebih baik kepada golongan berpendapatan rendah, Azreen berkata penuaan penduduk tetap menjadi cabaran, menyebabkan kadar caruman perlu disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan kelestarian.

Menurutnya, model antarabangsa itu menunjukkan sistem persaraan tidak semestinya berasaskan usaha individu semata-mata seperti KWSP di Malaysia. Justeru, perbincangan sepatutnya beralih daripada berapa banyak individu mampu menyimpan kepada sejauh mana masyarakat boleh berkongsi tanggungjawab.

Keperluan reformasi mendesak

Azreen berkata cabaran utama Malaysia ialah kelembapan struktur. “Tanpa reformasi yang mengukuhkan aspek pendapatan persaraan, penuaan penduduk dan corak pekerjaan yang semakin tidak menentu berisiko melebarkan jurang antara Malaysia dan negara dengan sistem pencen lebih berkesan,” katanya.

Timbalan Pengarah Penyelidikan Khazanah Research Institute Christopher Choong, pula berkata isu utama ialah ketidakpadanan antara model simpanan Malaysia dan struktur pasaran buruh.

“Keupayaan untuk mencarum dalam skim persaraan bergantung kepada gaji. Model caruman seperti KWSP sebenarnya mencerminkan tahap dan struktur gaji dalam pasaran buruh kita,” katanya.

“Jika struktur gaji tidak seimbang, ia akan menghasilkan taburan simpanan KWSP yang juga tidak sekata.”

Choong turut menegaskan reformasi menyeluruh semakin mendesak dan alasan ‘ketidakmampuan’ Malaysia hanyalah mitos.

“Bagi negara pada tahap pembangunan ekonomi Malaysia, kita sebenarnya boleh menggerakkan lebih banyak sumber.

“Kelestarian fiskal tidak semestinya bermaksud mengurangkan perbelanjaan kerajaan tetapi memastikan tanggungjawab kerajaan dapat dilaksanakan secara mampan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.