Tak semestinya tiru Singapura tapi insentif skim rumah dekat ibu bapa boleh dipertimbang

Tak semestinya tiru Singapura tapi insentif skim rumah dekat ibu bapa boleh dipertimbang

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu berkata pendekatan Malaysia perlu sesuai dengan realiti ekonomi, budaya dan kemampuan fiskal negara.

Aiman Athirah Sabu berkata dasar di Singapura boleh dilaksanakan memandangkan sistem Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sangat tersusun dan kepadatan penduduk tinggi. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Malaysia tidak semestinya meniru bulat-bulat model Proximity Housing Grant di Singapura jika mahu melaksanakan insentif kepada anak yang membeli rumah berhampiran ibu bapa mereka, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu.

Beliau berkata walaupun model itu terbukti berjaya menggalakkan anak tinggal dekat atau bersama ibu bapa melalui insentif sehingga SGD20,000 hingga SGD30,000, pendekatan di negara ini perlu disesuaikan dengan realiti ekonomi, budaya dan kemampuan fiskal negara.

“Di Singapura, sistem Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sangat tersusun dan kepadatan penduduk tinggi, maka radius 4km itu praktikal.

“Namun di Malaysia, terutama di kawasan separa bandar dan luar bandar, konsep ‘tinggal dekat’ mungkin perlu lebih fleksibel mengikut daerah, masa perjalanan atau jaringan pengangkutan,” katanya kepada FMT.

Aiman Athirah Sabu.

Beliau mengulas saranan Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (Reach) Iskandar Abdul Samad yang mencadangkan kerajaan memberi insentif kewangan kepada anak membeli kediaman berhampiran ibu bapa bagi memperkukuh sokongan keluarga terhadap warga emas.

Aiman berkata dari sudut prinsip, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana ramai ibu bapa kini semakin terasing apabila anak berhijrah ke bandar besar atas faktor pekerjaan.

Katanya, jika kerajaan memberi galakan supaya anak membeli rumah berhampiran ibu bapa, ia bukan sekadar polisi perumahan, tetapi dasar memperkukuh jaringan sosial dan kasih sayang keluarga.

Menurut beliau, Malaysia sebenarnya sudah mempunyai asas untuk melaksanakan model sedemikian menerusi pelbagai skim sedia ada seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), Rumah Selangorku dan program rumah mampu milik lain.

Katanya, kerajaan boleh memperkenalkan ‘Insentif Kediaman Keluarga’ secara bersasar termasuk melalui potongan duti setem tambahan, geran deposit rumah, subsidi kadar faedah pinjaman, keutamaan pembelian rumah mampu milik atau rebat cukai.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kerajaan perlu berhati-hati supaya insentif sedemikian tidak menyebabkan kenaikan harga rumah secara mendadak akibat spekulasi pasaran, selain menegaskan ia lebih sesuai dilaksanakan secara bersasar kepada pembeli rumah pertama dalam kalangan M40 dan B40.

“Langkah itu juga boleh dimulakan sebagai projek perintis di bandar utama yang mempunyai populasi warga emas tinggi.

“Perkara paling penting ialah falsafah di sebalik cadangan berkenaan kerana rumah tidak boleh dilihat sekadar sebagai aset ekonomi semata-mata.

“Rumah adalah institusi sosial. Bila anak tinggal dekat dengan ibu bapa, yang terpelihara bukan sekadar kebajikan warga emas, tetapi juga nilai ihsan, tanggungjawab dan kekuatan masyarakat.

“Dalam budaya Timur dan nilai Islam sendiri, menjaga ibu bapa bukan sekadar urusan peribadi, tetapi amanah peradaban,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.