
Siti Fatimah Abdul Ghani dari Universiti Putra Malaysia berkata, cadangan itu mempunyai nilai sosial yang baik kerana dapat membantu anak memberi sokongan emosi dan bantuan harian kepada ibu bapa yang semakin berusia.

Katanya, langkah itu juga selari dengan budaya masyarakat tempatan yang menitikberatkan hubungan kekeluargaan dan tanggungjawab menjaga warga emas.
“Sekiranya mahu dilaksanakan, skim itu lebih sesuai dibuat secara bersasar kepada golongan B40 dan M40, khususnya pembeli rumah pertama serta projek perumahan mampu milik.
“Secara keseluruhan, cadangan ini wajar dipertimbangkan kerana bukan sahaja membantu kebajikan ibu bapa, malah mampu memperkukuhkan kesejahteraan sosial dan kekeluargaan di Malaysia,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Siti Fatimah berkata kerajaan perlu mengambil kira beberapa cabaran, termasuk harga rumah yang tinggi, peluang pekerjaan yang banyak tertumpu di bandar besar, serta kemampuan kewangan negara untuk melaksanakan skim itu.
Beliau mengulas saranan Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (Reach), Iskandar Abdul Samad, yang mencadangkan kerajaan memberi insentif kewangan kepada anak untuk membeli kediaman berhampiran rumah ibu bapa.
Iskandar dilaporkan berkata langkah itu dapat memperkukuh sokongan keluarga terhadap warga emas dan memudahkan anak menjaga ibu bapa.
Beliau turut mencadangkan kerajaan meneliti skim seperti Proximity Housing Grant di Singapura, yang menawarkan insentif sehingga SGD20,000 kepada pembeli yang tinggal kurang 4km dari ibu bapa mereka.

Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Alimuddin Mohd Dom pula berkata menjaga ibu bapa tidak semestinya bermaksud anak perlu tinggal berhampiran mereka.
Beliau berkata perkara lebih penting ialah kesedaran dan rasa tanggungjawab anak untuk memastikan kebajikan ibu bapa, terutama yang sudah lanjut usia atau kurang upaya, terus terpelihara.
“Cadangan memberi insentif kepada anak-anak untuk tinggal berhampiran ibu bapa adalah baik dan dialu-alukan sekiranya pihak berkuasa mempunyai bajet atau peruntukan mencukupi.
“Namun, untuk membantu ibu bapa tidak semestinya tinggal berhampiran dengan mereka. Yang penting ialah rasa kesedaran dan tanggungjawab anak-anak untuk menjaga ibu bapa terutama yang kurang upaya atau berusia lanjut,” katanya.
Alimuddin, yang juga bekas ketua pengarah pendidikan, berkata nilai menghormati dan menyayangi ibu bapa perlu dipupuk sejak di bangku sekolah.
“Apa yang penting, nilai-nilai yang baik perlu ditanam sejak di bangku sekolah. Perasaan kasih dan cinta kepada warga tua terutama ibu bapa perlu dipupuk sejak kecil.
“Dengan cara ini, masyarakat kita terutama anak-anak akan sentiasa menyayangi ibu bapa mereka dan bersedia menjaga serta memantau mereka pada bila-bila masa,” katanya.