TMJ bimbang era selepas Najib

tmj-najib

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan menyampaikan titah Sultan Johor kepada perdana menteri dalam pertemuan mereka pada 12 Ogos ini.

Antara titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ialah pendidikan, agama dan aktiviti perniagaan tidak boleh dicampur adukkan dengan politik, kerana ia akan menyebabkan rasuah dan salah laku.

TMJ, dipetik oleh China Press dalam rancangan “Obviously Harith Iskander” Sabtu lepas. berkata beliau tidak bimbang dengan kepimpinan Najib sekarang, tetapi khuatir terhadap keadaan selepas perdana menteri berundur.

“Jika buat keputusan salah sekarang, kita akan teruskan kesilapan kelak. Demi masa depan negara, kita perlu membuat keputusan yang betul sekarang,” kata TMJ dalam penampilan kedua bersama Harith dalam rancangan terbitan Astro itu.

TMJ berterima kasih kepada Najib kerana meluangkan masa menemui beliau.

Katanya, banyak isu yang akan dibincangkan antara mereka bagi memperbaiki keadaan dalam negara ini.

“Ini bukan untuk saya seorang, sebaliknya demi masa depan rakyat dan negara,” katanya sambil menambah beliau tidak peduli apa pandangan orang lain terhadap beliau, dan hanya mementingkan kejujuran.

“Saya 99% yakin ada orang tidak suka saya, tetapi saya 100% pasti saya tidak kisah.”

Mengenai isu wanita Islam perlu bertudung, Tunku Ismail berkata, beliau tidak faham kenapa perlu menghakimi seseorang itu dengan memakai tudung atau tidak.

Selain itu, beliau menafikan dakwaan kononnya beliau adalah kaki perempuan atau samseng.

“Ada ramai orang kata adalah kawan baik saya, tetapi sebenarnya kawan saya tidak ramai, kebanyakan berada di Johor, ada yang berada di luar negara dan Kuala Lumpur.

“Saya adalah budak kampung yang tipikal, kebanyakan masa berada di Johor,” katanya.