Ayob Khan sedia bersemuka penyokong Ibn Taimiyyah

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

KUALA LUMPUR: Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bersedia berjumpa mana-mana pihak termasuk agamawan yang tidak berpuas hati dengan kenyataannya berhubung ajaran Ibn Taimiyyah yang menjadi rujukan IS.

“Saya minta pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan saya supaya melihatnya secara menyeluruh.

“Mereka sepatutnya tanya atau datang berjumpa saya jika wujud rasa tidak puas hati. Mereka boleh datang ke pejabat saya di menara dua tingkat 24 Bukit Aman, saya alu-alukan,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman itu.

Beliau juga nafi melabel Ibn Taimiyyah sebagai sesat, sebaliknya berkata pihaknya mengesan beberapa pandangan ilmuan Islam abad ke-14 yang dijadikan justifikasi untuk menghukum umat Islam lain sebagai mengamalkan bid’ah, syirik dan murtad, di mana darah mereka dianggap halal.

“Jangan pertikai tindakan polis. Saya bercakap berdasarkan fakta dan golongan yang menyalah tafsir kenyataan saya adalah mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Ini salah satu sebab ramai orang terpengaruh, orang ada PhD, profesor, imam masjid, semua orang terpengaruh menyertai IS kerana kenyataan fatwa (Ibn Taimiyyah) ditafsir mengikut akal. Sepatutnya jabatan agama pantau ideologi ini daripada terus tersebar,” ujar beliau.

Ayob mengulas kritikan sarjana Islam tempatan ekoran tindakan polis merampas beberapa karya Ibn Taimiyyah dalam usaha membanteras dakyah kumpulan militan IS.

Ia termasuk teguran daripada Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof. Mahmood Zuhdi Abd Majid yang meminta pihak berkuasa supaya berhati-hati sebelum menuduh ulama silam yang diiktiraf umat Islam itu.

Ibn Taimiyyah (1263-1328) merupakan sarjana Islam terkenal dari aliran Hanbali, diberi gelaran “Sheikhul Islam” oleh sebahagian umat Islam disebabkan pengaruh besarnya ke atas perkembangan ilmu Islam.

Bagaimanapun, ajarannya dikatakan kerap menjadi ikutan aliran pelampau misalnya oleh mereka yang mengakui “Salafi”.

Mengulas mengenai gesaan buku karya Ibn Taimiyyah yang menjurus kepada IS diharamkan di Malaysia, Ayob berkata beliau tidak mempunyai kuasa berbuat demikian sebaliknya bergantung kepada pihak kerajaan.

“Itu bergantung kepada pihak kerajaan, ada negara sudah haramkam buku Ibn Taimiyyah, ulama-ulama Al-Azahar pun membuang buku itu, Jordan baru lakukan dengan menghalang kemasukan buku Ibn Taimiyyah.

“Hanya Malaysia belum ambil tindakan, kerana ada individu tertentu yang menyokong. Jika isu ini tidak dimuktamadkan, isu keganasan tidak akan tamat, polis boleh tangkap dan caj tapi benda ini tidak akan berkesudahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri seminar “Ancaman Daesh dan Kafir Harbi” di Saloma Bistro, Kuala Lumpur.