Persatuan pengguna mahu pengguna Uber, Grab dilindungi

Ajit-Johl

PETALING JAYA: Persatuan pengguna mahu kerajaan memastikan kerahsiaan maklumat dan perlindungan yang lebih baik dalam kes kemalangan melibatkan pengguna perkhidmatan perkongsian kenderaan Uber dan Grab.

“Kemalangan membabitkan kenderaan perkongsian dan bagaimana ia menjejaskan pengguna amat membimbangkan kami dan perlu diberi perhatian sewajarnya. 4PAM tidak akan bertolak ansur dan mahu Spad (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) mengutamakan isu ini,” kata Persatuan Pengguna-Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM), Ajit Johl.

Oleh kerana aplikasi perkhidmatan perkongsian kenderaan merupakan fenomena terbaru, 4PAM berpendapat kawalan keatas perkhidmatan itu perlu dijalankan secara telus dan bertanggungjawab bagi membendung sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

“Antara perkara yang kita harap Spad tangani adalah berkenaan proses pemilihan pemandu, jaminan kualiti kenderaan, penyelesaian konflik, struktur tarif, pengurusan kemalangan, liabiliti pengarah dan pemandu, kualiti perkhidmatan, carter penumpang dan isu-isu lain,” katanya.

4PAM percaya peranan Spad sebagai pengawal atur boleh ditingkatkan sekiranya ia diletakkan dibawah Kementerian Pengangkutan kerana ia memerlukan seorang menteri untuk melihat isu-isu yang melanda industri pengangkutan awam.

“Kami merayu Spad untuk mengadakan perbincangan terbuka dengan semua pihak berkepentingan sebelum membuat sebarang keputusan drastik yang boleh memberi impak kepada keseimbangan industri. Keseimbangan yang baik akan memastikan pengguna mendapat manfaat terbanyak daripada sistem itu, kerana mereka membiayai industri.”