
Ajit Johl daripada Persatuan Penambahbaikan Transit Massa dan perunding pengangkutan Wan Agyl Wan Hassan bersetuju bahawa masalah lebih besar di Malaysia bukanlah tambang, sebaliknya tahap keterhubungan serta ketersambungan batuan akhir yang lemah.
“Sistem sedemikian masih menjadikan penggunaan kenderaan persendirian pilihan lebih menarik bagi kebanyakan pengguna,” kata mereka kepada FMT.
Pengangkutan awam percuma yang bersifat sementara dengan sendirinya mungkin tidak akan meyakinkan sebilangan besar rakyat untuk tidak memandu, tambah mereka.
Ajit dan Wan Agyl berkata demikian mengulas cadangan agar Malaysia mencontohi negeri Victoria dan Tasmania di Australia dalam menangani kebimbangan bekalan bahan api semasa.
Victoria menawarkan pengangkutan awam percuma selama sebulan bermula 31 Mac, manakala Tasmania mengecualikan tambang bas dan feri dari 30 Mac hingga 1 Julai.
Ajit berkata, beliau tidak bersetuju pengangkutan awam disediakan percuma, sebaliknya berpendapat ia harus kekal berpatutan dan mampan.
“(Langkah) menjadikannya percuma boleh mewujudkan jangkaan jangka panjang dan akhirnya menjejaskan kualiti penyelenggaraan serta perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga patut beralih daripada pemberian subsidi bahan api kerana kos bahan api yang rendah hanya mengekalkan daya tarikan penggunaan kenderaan persendirian dan melambatkan peralihan kepada pengangkutan awam.
Ajit berkata, pengurangan kuota RON95 bersubsidi baru-baru ini, daripada 300 liter kepada 200 liter, merupakan satu langkah ke arah yang betul.
Memandangkan pengguna tegar pengangkutan awam sudah pun memiliki pas perjalanan bulanan RM50, mereka tidak menghadapi tekanan kos bahan api langsung yang sama seperti pemandu kenderaan persendirian, katanya.
Wan Agyl berkata, skim tambang percuma mungkin meningkatkan jumlah penumpang namun secara sendirinya ia tidak banyak membantu mengurangkan jumlah pemandu di jalan raya dalam jangka masa panjang.
“Langkah tersebut dengan sendirinya tidak memberi kesan yang ketara untuk meyakinkan orang ramai agar tidak menggunakan kenderaan mereka,” katanya.
Beliau berkata, pengguna bertindak balas terhadap pengalaman perjalanan secara keseluruhan berbanding hanya fokus soal tambang. Masa perjalanan, kebolehpercayaan dan kemudahan dari pintu ke pintu, contohnya, lebih mempengaruhi keputusan mereka setiap hari, katanya.
Wan Agyl menyifatkan tahap keterhubungan yang lemah, kekerapan yang kurang dan akses batuan akhir sebagai kelemahan utama dalam sistem pengangkutan awam.
“Orang ramai bukannya mengelak menggunakan pengangkutan awam kerana (tambang) mahal. Mereka mengelak kerana ia tidak boleh digunakan secara konsisten dari mula hingga akhir,” katanya merujuk laluan pejalan kaki yang tidak lengkap, perkhidmatan bas perantara yang tidak boleh diharapkan dan liputan yang tidak sekata.
Bagaimanapun, katanya, jika inisiatif tambang percuma ini diperkenalkan, ia sepatutnya dilaksanakan secara bersasar, bukan menyeluruh.
Menurutnya, Lembah Klang ialah lokasi paling sesuai untuk mengujinya disebabkan rangkaian rel utamanya dan kekerapan perkhidmatan yang agak baik.
Wan Agyl turut memberi amaran bahawa pemberian tambang percuma boleh memakan diri jika kapasiti tidak ditingkatkan pada masa yang sama, lantas menyebabkan kelewatan, kesesakan dan tanggapan pertama yang buruk bagi pengguna baharu.
Beliau berkata, cara terbaik untuk melindungi isi rumah daripada peningkatan kos bahan api adalah dengan mengurangkan keperluan untuk memandu.
Ini boleh dicapai menerusi kekerapan bas yang lebih tinggi, lorong khas, rangkaian bas perantara yang lebih kukuh, aturan kerja fleksibel serta bantuan bersasar untuk kumpulan berpendapatan rendah, katanya.