Bekas bos Ipic disiasat pihak berkuasa Swiss, lapor FT

ipic-1PETALING JAYA: Bekas pengarah urusan syarikat kewangan milik kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (Ipc), disiasat pihak berkuasa Switzerland, lapor Financial Times.

Switzerland menyiasat dakwaan Khadem al-Qubaisi terbabit dalam persekongkolan antarabangsa untuk menggelapkan wang daripada syarikat milik kerajaan Malaysia, 1MDB.

Menurut media kewangan itu, surat daripada pihak berkuasa Switzerland berkenaan siasatan itu menyebut Khadem disyaki melakukan penipuan, pengubahan wang dan rasuah.

Siasatan itu menyusuli tuntutan sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) keatas dakwaan penggelapan wang 1MDB bulan lalu.

DoJ dalam tuntutan yang dibuat 20 Julai mendakwa lebih AS$3.5 bilion (RM14 bilion) dilesapkan daripada syarikat milik kerajaan Malaysia itu.

Maka DoJ dalam tuntutannya mahu merampas sejumlah aset yang “terbabit dalam atau boleh dikesan kepada suatu komplot antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB”.

Khadem, dan tiga suspek lain, didakwa dinamakan dalam surat daripada pejabat peguam negara Switzerland kepada Bank BSI, iaitu sebuah institusi kewangan berpangkalan di Switzerland dan menjadi sasaran pihak berkuasa Switzerland dan Singapura berhubung transaksi bilion dolar yang dikaitkan kepada 1MDB.

Menurut FT, Khadem tiba-tiba meninggalkan Ipic April tahun lepas selepas timbulnya skandal kewangan itu, dan terdapat banyak spekulasi tentang di mana beliau berada ketika ini.

Pendakwaraya AS sebelum ini menyatakan Khadem terbabit dalam suatu komplot, dibantu oleh beberapa pegawai 1MDB, untuk menyalurkan sebahagian daripada kutipan hasil pengeluaran bon oleh syarikat milik kerajaan Malaysia itu pada 2012, ke sebuah syarikat luar pesisir, mencecah kira-kira AS$3.5 bilion (RM14 bilion).

Hubungan antara syarikat Malaysia dan syarikat Abu Dhabi itu ditingkatkan pada Mac 2014 melalui kerjasama strategik dua hala, yang membawa kepada satu lagi pengeluaran bon AS$3 bilion (RM12 bilion) yang menimbulkan pertikaian.

Khadem juga didakwa mendapat faedah untuk dirinya apabila AS$473 juta (RM1.89 bilion) daripada wang itu dimasukkan ke akaunnya pada 2012, menurut DoJ, dan sebahagian daripadanya digunakan untuk membeli pelbagai aset di AS, termasuk sebuah emper di New York, lapor FT.