Goldman Sachs capai penyelesaian saman berkait 1MDB

Goldman Sachs capai penyelesaian saman berkait 1MDB

Peguam dari Goldman Sachs menerusi surat kepada hakim daerah berkata mereka bersetuju menyelesaikan kes itu 'secara keseluruhan', tanpa memberikan butiran penyelesaian.

Dua pegawai bank Goldman Sachs disabitkan bersalah membantu menyeleweng dana 1MDB. (Gambar EPA Images)
MANHATTAN:
Goldman Sachs Group Inc. berkata ia telah mencapai ‘persetujuan secara prinsip’ untuk menyelesaikan satu tindakan saman oleh pemegang saham yang mendakwa bank itu serta bekas eksekutif tertingginya mengelirukan mereka mengenai penglibatannya dalam skandal 1MDB.

Menerusi sepucuk surat kepada hakim daerah Amerika Syarikat di Manhattan Vernon S Broderick pada Rabu, peguam daripada Goldman dan dana pencen Sweden, Sjunde AP-Fonden, selaku plaintif utama dalam kes tersebut, berkata mereka telah bersetuju untuk menyelesaikan kes itu ‘secara keseluruhan’, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai penyelesaian tersebut.

Mereka berkata perjanjian penyelesaian itu dijangka difailkan sebelum 20 Mei. Broderick perlu meluluskan perjanjian tersebut sebelum ia boleh diteruskan.

Goldman enggan mengulas.

Saman itu pertama kali difailkan pada 2018. Bank tersebut pada mulanya menafikan liabiliti, namun kemudian bersetuju untuk membayar lebih daripada USD2.9 bilion, iaitu penalti terbesar seumpamanya dalam sejarah AS, serta lebih daripada USD5 bilion di peringkat global atas peranannya dalam skim tersebut.

Dua pegawai bank Goldman telah disabitkan bersalah kerana membantu menyeleweng dana 1MDB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.