
Dalam laporan polis, Pengarah Ibrahim & Sons Engineering Sdn Bhd (IBSE), Khaeromze Ahmad, menolak tuduhan Steel Hawk berkaitan pecah amanah, penyalahgunaan dana dan salah representasi dalam kerjasama projek melibatkan Tenaga Nasional Bhd (TNB).
“Saya menafikan dakwaan itu kerana syarikat kami sentiasa mematuhi terma perjanjian sepanjang tempoh berkaitan,” katanya dalam laporan di Ibu Pejabat Polis Johor Selatan semalam.
Selain IBSE dan Khaeromze, Steel Hawk turut menamakan Always Ahead Engineering Sdn Bhd serta dua individu, Zafrin Ibrahim dan Zulkflee Ibrahim, sebagai pihak dalam saman tersebut.
Perkara itu juga diumumkan oleh Steel Hawk di Bursa Malaysia.
Khaeromze menjelaskan pertikaian bermula apabila Steel Hawk melalui e-mel bertarikh 16 Feb meminta IBSE menandatangani dokumen yang menyatakan baki bayaran setakat 31 Dis tahun lalu.
Menurutnya, IBSE menolak permintaan itu pada 17 April kerana jumlah dinyatakan tidak sepadan dengan rekod syarikat. Susulan itu, IBSE menghantar surat untuk menamatkan perjanjian dengan Steel Hawk.
Beliau mendakwa Steel Hawk kemudian meminta surat penamatan itu ditarik balik sambil mengugut dengan tuduhan yang tidak benar, namun IBSE menolak permintaan berkenaan dan terus menafikan dakwaan berkenaan.
“Selepas itu, Steel Hawk mula membuat pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap IBSE, termasuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan TNB bagi memberi tekanan.
“Tuduhan disiarkan di laman Bursa Malaysia juga tidak berasas dan bersifat melampau serta berniat jahat. Ia telah menjejaskan imej saya dan kredibiliti IBSE di mata pihak bank, TNB dan industri,” katanya.
Kenyataan di Bursa Malaysia
Dalam pemfailan di Bursa Malaysia, Selasa lalu, Steel Hawk memaklumkan ia telah memulakan tindakan undang-undang terhadap IBSE dan empat pihak lain atas dakwaan pecah amanah, penyalahgunaan dana dan salah representasi berkaitan kerjasama kejuruteraan melibatkan projek TNB.
Syarikat itu menyatakan ia menuntut sekurang-kurangnya RM14.39 juta melalui saman yang difailkan oleh anak syarikat milik penuhnya, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd.
Menurut Steel Hawk, pertikaian itu berpunca daripada kontrak ditandatangani pada Julai 2025, di mana IBSE dilantik sebagai kontraktor utama bagi beberapa projek berkaitan TNB, manakala Steel Hawk Engineering menyediakan modal kerja dan pembiayaan sebagai balasan kepada bayaran balik serta perkongsian keuntungan.
Steel Hawk mendakwa bahawa antara tahun 2025 hingga 2026, sebanyak RM11.63 juta telah dibayar kepada IBSE dan Always Ahead Engineering berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pihak defendan.
Menurut syarikat itu lagi, perjanjian tersebut menetapkan bahawa semua bayaran yang diterima daripada TNB mesti dianggap sebagai wang amanah dan disalurkan ke dalam akaun amanah atau akaun escrow yang ditetapkan.
Namun, Steel Hawk mendakwa pihak defendan gagal memastikan bayaran daripada TNB dimasukkan ke dalam akaun yang ditetapkan, menyebabkan TNB didakwa membuat bayaran ke akaun yang tidak dibenarkan, termasuk sejumlah RM2.76 juta.
Syarikat itu turut mendakwa beberapa pesanan pembelian TNB serta surat lantikan yang dikemukakan oleh pihak defendan adalah palsu, tidak wujud, atau telah dibatalkan.
Antara tuntutan termasuk pengisytiharan penamatan perjanjian adalah tidak sah, bahawa wang diterima daripada TNB dipegang sebagai amanah untuk Steel Hawk Engineering serta permohonan untuk mengambil alih atau memindahkan hak dalam perjanjian berkenaan.