KP Imigresen nafi keluar pekeliling pembantu rumah Islam

mustafar-ali

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Imigresen baharu, Datuk Mustafar Ali menjelaskan ketetapan supaya keluarga yang beragama Islam hanya menggaji pembantu rumah yang menganut agama yang sama cuma panduan umum “dengan banyak pengecualian dan pertimbangan” diberikan.

Menjawab pertanyaan FMT melalui pesanan ringkas, Mustafar menegaskan tidak pernah mengeluarkan peraturan yang mengundang banyak kritikan itu, dan menjelaskan pekililing umum itu sudah sedia ada sebelum beliau dilantik memimpin Imigresen.

Jabatan itu, tambahnya, akan terus membantu dan memudahkan urusan para majikan dan pekerja mereka seperti biasa.

“Pekeliling itu bukan peraturan ketat. Saya juga mahu beri jaminan kepada semua majikan yang beragama Islam bahawa permintaan mereka, permohonan dan rayuan akan diberi pertimbangan sewajarnya.

“Permintaan semua pihak akan dilayan secara saksama.”

Awal hari ini, Star Online melaporkan Jabatan Imigresen menguatkuasakan peraturan sedia ada itu.

Seorang pemilik agensi pembantu rumah yang dipetik dalam laporan itu berkata pegawai Imigresen di kaunter jabatan beritahu dasar itu merupakan arahan daripada ketua pengarah baharu.

Kenyataan itu menyebabkan Mustafar dikritik sesetengah pihak, termasuk daripada Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Ti Lian Ker, yang berpendirian peraturan seperti itu tidak patut dibuat atau dikuatkuasakan sesuka hati.

Peraturan berasaskan sentimen, katanya, akan hanya menyebabkan pertambahan kos dan menyusahkan orang ramai maka perlu dielakkan.

Dihubungi kemudian, pemimpin MCA itu berasa lega Ketua Pengarah Imigresen menjernihkan keadaan ini.

“Ini bukan lagi isu.

“Tidak adil jika kita kritik Mustafar mengenai sesuatu yang sedia ada sebelum beliau dilantik KP,” katanya, dan menambah beliau dan Mustafar sudah membincangkan hal tersebut.