MB Terengganu mohon maaf tidak tahu permintaan Azizulhasni

Ahmad-Razif-Abdul-Rahman_Azizulhasni_600

PETALING JAYA: Menteri Besar Terengganu memohon maaf kepada Azizulhasni Awang kerana permintaan pelumba basikal negara itu tidak pernah diketahuinya.

Bagaimanapun, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, beliau sedia menemui pemegang pingat gangsa Olimpik Rio itu sendiri untuk mendengar luahan hatinya dan turut mengarahkan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) menyiasat dakwaan atlet itu yang kerajaan negeri mengabaikan kebajikannya.

“Saya tidak tahu-menahu mengenai perkara ini dan kena tunggu hasil siasatan (MSNT). Mungkin ada yang terlepas pandang. Saya amat terkilan dan mohon maaf sekiranya perkara itu benar,” katanya
selepas majlis ramah mesra bersama bakal haji Parlimen Kuala Nerus di pejabat penyelaras DUN Seberang Takir, hari ini.

Azizulhasni meraih tempat ketiga, sekaligus memungut pingat gangsa dalam perlumbaan akhir keirin di Rio Olympic Velodrome, Brazil, hari ini.

Bagaimanapun, petang tadi, Azizulhasni secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Terengganu kerana tidak membantu beliau dan pelumba basikal wanita, Fatehah Mustapa yang merupakan anak jati Terengganu berjuang di peringkat dunia dan Olimpik.

“Terima kasih kerana tidak sudi membelikan sebuah basikal ‘RoadBike’ untuk kegunaan kami dalam persiapan Sukan Olimpik walaupun sudah dihantar proposal lebih kurang setahun sebelum Sukan Olimpik Rio.

“Terima kasih juga kerana tidak memberikan feedback dan membisu apabila manager saya menghubungi Tuan Menteri Besar. Untuk pengetahuan Datuk MB, saya dan Fatehah atlet bertaraf dunia dan Olimpik ini sentiasa terlepas pandang oleh Datuk MB. Mungkin ianya kerana kami berlatih di luar negara,” tulis Azizulhasni di Facebooknya.

Ahmad Razif berkata, Terengganu adalah antara kerajaan negeri yang memandang serius bidang sukan dan memastikan setiap atlet diberikan perhatian sewajarnya.

“Kerajaan negeri Terengganu sedang menilai ganjaran bersesuaian dengan kejayaan Azizulhasni.

“Kerajaan negeri Terengganu akan mewujudkan sebuah galeri khas untuk anak Terengganu yang berjaya dalam sukan, termasuklah kejayaan Azizulhasni di Olimpik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terima kasih MB kerana tidak bantu saya, kata Azizulhasni