Rani Kulup mahu Nawawi minta maaf ‘hina Agong’

rankulup

KUALA LUMPUR: Aktivis selebriti Abdul Rani Kulup Abdullah hari ini menggesa Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad meminta maaf kerana mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dengan “Malaysian Official 1” (MO1) yang dinamakan dalam laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

“Ahli Parlimen Langkawi jangan senang-senang mengheret nama Yang di-Pertuan Agong dalam isu-isu negara.

“Sebab Agong tidak terlibat dalam bersabitan berkenaan pentadbiran. Jangan disebut-sebut nama Agong,” kata Rani ditemani penyokongnya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

Dalam beberapa komen menjawab pengguna Facebook, Nawawi berkata ungkapan “MO1” itu merujuk kepada Agong, dengan memberi alasan “pegawai nombor satu” negara menurut Perlembagaan Persekutuan adalah Agong.

“MO1 ialah Malaysian Official No 1. Mengikut perlembagaan negara, kerajaan negara ini dibentuk dari 3 entiti utama yang berasingan dan independent iaitu 1) badan kehakiman diketuai chief justice atau ketua hakim negara 2) badan perundangan parlimen diketuai Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Pandikar dan 3) badan eksekutif diketuai oleh YAB Perdana Menteri.

“Semua ketiga-tiga badan ini bertanggungjawab pada DYMM Agong. Maka mengikut perlembagaan, MO1 ialah Agong,” tulis Nawawi dalam Facebooknya baru-baru ini.

Komen itu disunting beberapa jam kemudian, dengan sekadar menulis MO1 bukan merujuk perdana menteri.

Dokumen 136 muka surat DOJ bulan lalu membutirkan salah laku dan kecurian wang 1MDB, yang turut menyebut “MO1” sebanyak 36 kali. Spekulasi mengaitkannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menafikan terlibat dalam siasatan DOJ itu.

Rani berkata kenyataan Nawawi menghina Agong.

Selain isu Nawawi, Rani yang terkenal dengan laporan polis, turut membuat tiga lagi laporan, termasuk terhadap kenyataan bekas pemimpin DAP Hew Kuan Yau yang mendakwa Malaysia tidak akan memperoleh sebarang pingat di Olimpik sekiranya tidak ada orang Cina di negara ini.

MO1: Nawawi tersasar jauh, tapi tak perlu Akta Hasutan