Tony: Jemaah Menteri tidak boleh hadkan siasatan 1MDB

tony-pua8

KUALA LUMPUR: Kegagalan Ketua Polis Negara menjalankan siasatan menyeluruh keatas “skandal kewangan terbesar di dunia” mengesahkan keraguan orang ramai yang Tan Khalid Abu Bakar berpakat dengan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, kata Tony Pua.

“Mereka cuba sorokkan penipuan yang menipu puluhan bilion ringgit duit rakyat,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam satu kenyataan.

Penipuan 1MDB itu, katanya, mencemar nama baik negara.

“Rakyat terkejut polis menghadkan siasatan, atas arahan Jemaah Menteri, untuk mewajarkan syor Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC),” katanya.

Tony, yang juga Setiusaha Publisiti DAP Kebangsaan, mengulas kenyataan KPN Jumaat lalu yang memaklumkan polis sudah menyelesaikan fasa pertama siasatan mereka keatas 1MDB, terhad seperti yang diarah Jemaah Menteri, kepada lima syor PAC yang dibentangkan di Parlimen.

Pertama, kata Tony, Jemaah Menteri tidak boleh beri arahan khusus kepada polis untuk menyiasat atau tidak menyiasat jenayah yang dilakukan. Beliau menganggap arahan seperti itu halangan kepada pelaksanaan undang-undang.

Kedua, KPN tidak boleh menghadkan siasatan polis kepada lima syor PAC.

“Lima syor PAC merupakan tumpuan kami,” kata Tony, yang turut menganggotai PAC. “Saya tidak mahu perhatian polis dialihkan syor itu, jika tidak tumpuan siasatan akan tersimpang.”

Malah, tambahnya, polis perlu pertimbangkan yang 1MDB gagal menyerahkan penyata bank luar negara dan dokumen pengesahan, walaupun diminta berulang kali oleh PAC dan Ketua Audit Negara. Atas sebab itu, keluhnya, PAC tidak mampu menyiasat salahlaku dalam 1MDB.

Sebagai contoh, katanya, PAC tidak dapat mengesahkan pemilikan syarikat Good Star Limited yang terima RM1.03 bilion daripada 1MDB. “1MDB tidak dapat serahkan sebarang dokumen pemilikan yang muktamad kepada PAC.”

Tambahan pula, kata Tony, pengerusi PAC sembunyikan surat Bank Negara yang mengesahkan Good Star Limited dimiliki Jho Low.

Tony mendesak KPN supaya menjelaskan mengapa polis menghadkan siasatan kepada syor PAC, dikatakan atas arahan Jemaah Menteri.

Polis sepatutnya siasat tanpa rasa takut atau pilih kasih, walaupun siasatan melibatkan pegawai tertinggi, kata Tony. “Khalid harus sedar ada percanggahan kepentingan yang besar dalam arahan menghadkan siasatan polis, yang dikatakan daripada Jemaah Menteri.”

“Anggota jemaah mungkin terbabit dengan penggubahan wang itu.”

Beliau percaya pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) patut mendorong polis mendapatkan semua dokumen berkaitan bagi memastikan siasatan jenayah yang menyeluruh keatas perkara itu.