
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang mempertahankan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghadkan keahlian kepada orang Melayu dan Bumiputera. Menurut Khalid, menyayangi bangsa sendiri bukanlah rasis, kerana rasis itu bererti membenci bangsa tertentu atau mahu bertembung dengan bangsa lain.
Bercakap kepada FMT, Ibrahim kata kenyataan Khalid itu membuktikan tuduhan rasis yang dilemparkan selama ini adalah salah.
“Alhamdulillah, saya berasa bangga dan yakin sekarang,” katanya. “Kalau saya yang cakap, orang kata saya rasis tapi bila Khalid Samad yang cakap saya yakin orang ramai akan faham akhirnya.”
Ibrahim digelar pelampau kaum dan agama oleh ramai orang dan kumpulan, termasuk pembangkang dan sesetengah ahli Umno.
Pada 2011, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata Ibrahim seorang rasis yang merbahaya kerana memberi amaran kepada orang Cina supaya jangan terbabit tunjuk perasaan Bersih 2.0 pada Julai tahun itu.
Dari segi isu, Ibrahim menganggap dirinya sentiasa berada di hadapan orang lain, misalannya konflik antara PAS dan DAP.
“Saya nasihat PAS supaya berhati-hati denga DAP dan kemudian saya dihentam PAS tapi tengoklah sekarang apa jadi.”
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nuz Jazlan Mohamed turut mengulas kenyataan itu dan menganggap pembangkang bermuka-muka.
“Mereka dakwa perjuangkan Malaysian Malaysia, tapi tengoklah struktur sebenar parti mereka,” katanya.
“PAS untuk Melayu Islam dan DAP untuk Cina, manakala Umno tak pernah nafi parti berasaskan Melayu tetapi perikatan BN ada parti lain yang memenuhi keperluan bangsa masing-masing.”
Beliau menambah PAS dan DAP bekerjasama buat seketika bila keadaan memerlukan tapi akhirnya wajah sebenar mereka terpampang jua.